MoU Transformasi Politik serupa BPMS dirintis PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konsep Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) Isnin lepas sebenarnya pernah dirintis PAS pada 2016.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dicetus pada 2016 merupakan budaya berpolitik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan.

Ia bertujuan membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, prinsip yang terkandung dalam BPMS ada persamaan dengan apa yang berlaku Isnin lepas.

Katanya, konsep tersebut sebenarnya terangkum dalam kaedah taawun siyasi yang sudah lama dirintis PAS dalam arus politik di negara ini.

“Kita hadapi bersama suasana yang berlaku sekarang. Perbezaan pandangan dalam isu-isu tertentu merupakan perkara biasa dalam berpolitik.

“Kita hendaklah tolong menolong dalam usaha membangun semula ekonomi selepas terkesan dengan penularan Covid-19 seperti yang berlaku sekarang,” katanya ketika membahas ucapan Titah Diraja pada persidangan parlimen petang ini.

Pada Isnin lepas kerajaan dan PH menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang merangkumi enam teras iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, kebebasan institusi kehakiman.

Selain itu Perjanjian Malaysia 1963, Jawatankuasa Pemandu dan pembaharuan parlimen.

Dr Mohd Khairuddin turut mencadangkan kerajaan melaksanakan konsep wakaf tunai dalam usaha membantu rakyat dengan mekanisme sedia ada dalam Islam.

Kata beliau sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan itu wajar ditubuh di peringkat negeri-negeri bagi menyelaras program berkenaan.

“Menteri Hal Ehwal Agama dicadang mengadakan perjumpaan dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi merealisasi program tersebut,” kata beliau.

Menurutnya juga bagi meningkatkan hasil kerajaan PAS pernah mencadangkan supaya diperkenalkan cukai keuntungan saham, cukai ekonomi digital dan cukai korporat.

Sementara itu ketika turut mengambil bahagian membahas titah ucapan Diraja ahli parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak gagal melaksanakan tanggugjawab kepada rakyat.

Katanya, kerajaan PN memperuntukkan puluhan bilion dengan menawarkan lapan pakej ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Apa yang dilaksanakan kerajaan PN itu menjawab tohmahan yang mendakwa kerajaan PN gagal. Bagi saya kerajaan PN tidak gagal. Mereka yang mendakwa gagal hanya pembangkang,” ujarnya.

Kerajaan PN sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM83 bilion suntikan fiskal membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu.

Tahun lepas sebanyak RM38 bilion suntikan fiskal disediakan, manakala RM45 bilion lagi diperuntukan tahun ini. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -