Menteri Agama sampai sumbangan Tabung Musaadah Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pendirian rakyat dan kerajaan Malaysia konsisten akan terus memberi sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin. Solidariti itu dibuktikan dengan Malaysia terus konsisten tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.“

Demikian penegasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menerusi laman Facebook beliau, petang tadi.

- Advertisement -

Dalam pada itu, beliau mengucapkan Alhamdulillah kerana telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM90,000 melalui Tabung Musaadah Palestin di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, hari ini.

Katanya, dalam majlis itu juga telah disampaikan barang makanan melalui program ‘Jawi Food Bank’.

Menurutnya, majlis itu telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada warga Palestin yang menetap di bumi Malaysia.

“Melihat wajah mereka, ternyata negara Palestin mengingatkan kita akan semangat jihad tanpa henti buat seluruh umat Islam.

“Semua rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kisah Palestin dan pengorbanan mereka. Alhamdulillah kita rakyat Malaysia hidup dalam aman tanpa rasa ketakutan,” ujarnya.

Maka, kata beliau ternyata benar dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan Ahmad dan Al Tabarani, ada sekumpulan umat Rasulullah SAW yang gagah yang akan terus mempertahankan Baitul Maqdis sehingga tidak boleh dikalahkan sehingga datangnya ketetapan Allah SWT.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib yang turut hadir dalam majlis sumbangan itu. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -