KeTSA sumbang pelitup muka kepada pelajar Tingkatan 6

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Tenaga Nasional Berhad akan menyumbang pelitup muka dengan nilai sebanyak RM200,000 kepada 88,787 pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara yang akan memulakan persekolahan mereka.

- Advertisement -

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sumbangan itu bagi menyahut seruan kerajaan agar pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuat secara bersepadu.

Katanya, berdasarkan fasa-fasa PPN, sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sesi persekolahan bersemuka akan bermula pada 3 Oktober depan secara berperingkat dengan membabitkan kelas-kelas yang terlibat dengan peperiksaan.

Sehubungan itu, ujarnya ibu bapa dan pihak sekolah perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pembukaan semula sekolah antaranya ialah mewajibkan pemakaian pelitup muka, sentiasa mencuci tangan menggunakan air dan sabun serta menjaga jarak.

Menurutnya, tumpuan sumbangan pelitup muka itu disasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang berteraskan konsep Keluarga Malaysia.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga daripada golongan B40 dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama para guru dan pengurusan sekolah sangat diharapkan agar dapat memantau dan memastikan semua pelajar sentiasa mematuhi SOP sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kesihatan pelajar terpelihara. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -