Kerajaan beri peluang doktor kontrak sambung pengajian

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk memberi peluang kepada doktor kontrak menerima tajaan Hadiah Latihan Persekutuan bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain melanjutkan kontrak perkhidmatan doktor kontrak selama 2 tahun lagi, kerajaan membuat keputusan menaja pengajian kepakaran sebagai antara usaha membantu mereka melanjutkan pelajaran.

- Advertisement -

Sebelum ini, katanya kemudahan melanjutkan pengajian kepakaran hanya diberikan kepada pegawai perubatan tetap, manakala doktor kontrak hanya boleh mendapat `parallel pathways’.

“Sekarang ini, kita akan memberi kemudahan sama kepada mereka supaya layak untuk memohon mendapat Hadiah Latihan Persekutuan bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian kepakaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Rusnah mempersoalkan walaupun doktor mencukupi, tetapi pesakit perlu menunggu lama di hospital untuk mendapatkan rawatan dan sama ada keadaan itu berlaku kerana kerajaan gagal mewujudkan perjawatan pegawai perubatan akibat kekurangan jumlah hospital baharu.

Khairy berkata, jumlah doktor di negara ini mencukupi dan masalah yang berlaku ialah kekurangan doktor pakar yang hanya ada kira-kira 13,000 orang, berbanding keperluan yang diperlukan pada tahun 2030 seramai 28,000 orang.

“Kekurangan pakar adalah punca pesakit terpaksa menunggu untuk mendapat rawatan doktor pakar,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan lisan, beliau berkata ketika ini jumlah pegawai perubatan adalah seramai 55,981 orang dengan 32,885 orang merupakan pegawai lantikan tetap, iaitu 26,892 orang adalah pegawai perubatan dan 5,993 pakar perubatan.

Katanya, seramai 23,096 orang merupakan pegawai lantikan kontrak, termasuk 19 pakar perubatan lantikan kontrak. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -