Jawi sebahagian daripada bahasa kita – Pengukir batu nisan

KUALA SELANGOR: “Jawi adalah sebahagian bahasa kita, orang Malaysia patut tahu, sayang sekali ramai anak muda hari ini sudah tidak kenal akan tulisan Jawi,” kata seorang pengukir batu nisan berketurunan Cina.

Kuah Leong Chuan, 65, yang memiliki pengalaman lebih 40 tahun mengukir batu nisan granit menggunakan tangan, meluahkan rasa kekesalan itu kerana tulisan Jawi yang dahulunya menjadi tulisan rasmi negara mungkin akan hilang begitu sahaja.

“Sepatutnya ada orang atau pihak yang meneruskan tulisan Jawi ini. Dahulu ada orang minat Jawi, tahu baca. Sekarang kena sambung (perkasakan lagi) sebab ini bahasa kita. Tidak boleh tinggal begitu sahaja. Ini tulisan kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkelnya di sekitar pekan lama Kuala Selangor berhampiran Bukit Melawati.

Advertisement

Jelasnya kemahiran menguasai tulisan Jawi oleh semua kaum di Malaysia bukan satu kerugian malah menjadi kelebihan bagi setiap rakyat, untuk mengekalkan identiti sebagai orang Malaysia.

Kuah berkata beliau sebelum ini mempelajari tulisan Jawi daripada ayahnya dan pelanggan telah datang bagi mendapatkan khidmat mengukir batu nisan sejak beliau berumur awal 20-an.

Namun katanya minat yang mendalam untuk mempelajari tulisan berkenaan perlu ada, khususnya bagi golongan muda kerana ia kini bukanlah tulisan yang digunakan dalam urusan harian seperti dahulu.

Dalam pada itu, Kuah yang merupakan generasi kelima keluarganya yang mempunyai kemahiran mengukir itu, sehingga kini masih aktif dan kuat dalam meneruskan warisan nenek moyangnya melahirkan kegusaran, sekiranya kemahiran tersebut tidak dapat diwariskan kepada anaknya.

“Anak pun tidak yang minat (kemahiran mengukir). Saya suruh belajar tulisan Jawi sahaja cukuplah. Budak sekarang mana minat, jadi pendekatan saya adalah jika tiada minat jangan paksa,” katanya.

Mengenai perniagaan yang diusahakan beliau, Kuah berkata sepasang batu nisan granit setinggi dua kaki boleh disiapkan kira-kira tiga hari bermula dari proses memotong batu hinggalah proses terakhir, iaitu mengukir serta memahat maklumat di atas batu nisan menggunakan tulisan Jawi.

Menurut Kuah, batu granit tersebut dipotong dengan alat bermata ‘berlian’ iaitu sejenis mata khas untuk memotong batu yang sangat keras, dengan setiap harga batu nisan bergantung atas saiz permintaan pelanggan.

Di samping membuat batu nisan bagi orang Islam, beliau turut mengambil upah mengukir batu nisan bagi agama lain dan juga lesung batu atau batu giling, sekiranya ada yang menginginkan hasil tangan daripada beliau. – BERNAMA