Cadangan kurangkan bilangan SOP: Rakyat sambut baik

Haryati Karim
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR:Orang ramai menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 daripada 181 kepada hanya 10, namun mereka berharap agar masyarakat sentiasa berwaspada kerana perang melawan Covid-19 belum lagi berakhir.

Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, rakyat Malaysia melahirkan rasa teruja namun mereka menzahirkan pelbagai saranan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan pihak kerajaan.

- Advertisement -

Seorang penulis, Haryati Karim, 36, berkata, pengurangan bilangan SOP berkaitan Covid-19 jika benar-benar direalisasikan kelak merupakan langkah yang baik kerana ia dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dan bagus untuk  kesihatan mental rakyat Malaysia.

Menurutnya, dia  gembira dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini pada pasca Covid-19 tetapi beliau menasihatkan masyarakat agar tetap mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Sebelum ini, SOP yang ketat dilaksanakan tetapi orang ramai masih gagal mematuhinya sehingga menyebabkan kes baharu Covid-19 masih lagi tinggi. 

“Sekadar ingin memberi saranan, saya nasihatkan kepada orang ramai agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dan jangan ambil mudah dengan kelonggaran yang diberikan,” ujarnya. 

Katanya, buat masa ini orang ramai perlu mengelakkan diri daripada berkunjung  ke tempat yang menjadi tumpuan ramai orang.

“Jangan terlalu ikutkan kata hati dan keterujaan sehingga mengabaikan SOP. Kelonggaran SOP bukan bermaksud kita sudah menang, perang melawan Covid-19 belum lagi berakhir,” ujarnya lagi.

Sementara itu menurut eksekutif, Hisham Ahmad Fuaddi, 42, pula, orang ramai perlu menganggap  cadangan pengurangan SOP ini dari sudut positif dan mematuhinya. 

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kita berada dalam fasa endemik Covid-19 dan perlu bersedia untuk hidup dengan virus ini,” katanya.

Hisham Ahmad

Menurutnya lagi, semua orang gembira apabila bakal dibenarkan merentas negeri tidak lama lagi dan dapat melakukan pelbagai aktiviti, namun masyarakat perlu berwaspada kerana ada dalam kalangan ahli keluarga yang masih belum lagi divaksinasi seperti golongan kanak-kanak. 

“Justeru, saya berharap agar kita dapat menjaga diri sendiri dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan diri dan masyarakat daripada dijangkiti Covid-19. Jangan terlalu teruja dengan pengurangan SOP ini sehingga membuatkan kita leka dan lupa diri,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Eksekutif acara, Ahmad Hanafiah Mohd Salleh, 42, dalam pada itu berpendapat, pengurangan bilangan SOP kelak mampu menjadikan kesihatan mental dan gaya hidup masyarakat  di negara ini bertambah baik. 

Ahmad Hanafiah

“Bagus sebenarnya langkah mengurangkan bilangan SOP,  namun kerajaan perlu mengambil mekanisme yang terbaik bagi memastikan tempat tumpuan orang ramai tidak terlalu sesak contohnya dengan membenarkan aktiviti luar boleh dibuka secara bersyarat.

“Wabak yang sedang menular ini menyebabkan  ramai orang yang tertekan akibat terperap di rumah dan mengalami berbagai-bagai masalah lain, namun semua pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa dilindungi,” katanya.

Terdahulu, kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kepada 10 SOP berbanding 181 yang ada ketika ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, proses mengurangkan bilangan SOP itu dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP- HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -