Belanjawan 2022: Cadangan mahasiswa kepada kerajaan

- Advertisement -

UMUM mengetahui Kementerian Kewangan telah membuka ruang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melontarkan idea, cadangan dan saranan kepada kerajaan dalam usaha merangka Belanjawan 2022 yang lebih komprehensif dan mengutamakan rakyat. Belanjawan tersebut akan memperincikan kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Dalam masa yang sama, Kementerian Kewangan bersetuju menerbitkan kenyataan pra-bajet sebagai salah satu usaha penambahbaikan proses penyediaan bajet tahunan bermula tahun ini. Oleh itu, rakyat berpeluang mendapatkan gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil dan jangkaan kemudahan yang bakal dinikmati daripada Bajet 2022.

- Advertisement -

GAMIS berpandangan usaha ini merupakan antara prinsip asas bagi meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara. Namun begitu, GAMIS ingin memastikan bahawa usaha yang sedang dijalankan ini tidak hanya bersifat retorik dan tempelan kosmetik yang akhirnya tidak mampu meningkatkan keupayaan ekonomi negara, kesihatan awam, pendidikan dan kos sara hidup rakyat. Justeru GAMIS menggesa kerajaan supaya turut memberikan tumpuan kepada golongan muda khususnya mahasiswa agar kebajikan mereka terbela dan diberi perhatian sewajarnya. 

Antara cadangan yang kami lihat memberi manfaat kepada golongan belia dan mahasiswa adalah seperti berikut:

1. Bantuan one-off kepada mahasiswa sejumlah RM250 melalui platform e-wallet bagi menampung kos pembelian bahan pembelajaran.

2. Meningkatkan peruntukan belanjawan untuk program Protege dan MyStep merangkumi bidang kewangan, teknikal dan sains sosial bagi memperluas kebolehpasaran graduan.

3. Penangguhan bayaran balik PTPTN dilanjutkan selama 6 bulan lagi bertujuan mengurangkan beban graduan.

4. Mempertimbangkan peningkatkan gaji minima RM1,200 ke RM1,500 untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.

5. Meningkatkan Bajet Universiti bagi memperkasa kebajikan dan urus tadbir hal ehwal pelajar serta membaikpulih fasiliti sedia ada.

6. Kad Diskaun Siswa bertujuan mengurangkan beban mahasiswa bagi pembayaran rumah sewa, penggunaan pengangkutan awam dan pembelian peranti pembelajaran.

7. Mempertimbang program Pinjaman Boleh Ubah (PBU) JPA dan Mara kepada biasiswa penuh bagi pelajar yang berjaya memperoleh kepujian kelas pertama.

8. Meningkatkan peruntukan projek JENDELA bagi menambahbaik kesalinghubungan sedia ada. 

Sebagai gerakan mahasiswa yang konsisten dalam memperjuangkan hak dan isu-isu mahasiswa, GAMIS akan terus komited berperanan sebagai third force yang terlibat aktif dalam menyuarakan pendapat mahasiswa dan belia serta bersedia menjadi jambatan untuk membawa idea ini kepada pihak kerajaan.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

MUHAMMAD ARIF HAKIMI MALUDIN
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2021 – HARAKAHDAILY 15/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2299058336901855/

- Advertisement -