Bekas pengetua peruntuk 10 peratus pencen bantu penduduk

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kuala Lumpur mewujudkan food bank di pekarangan rumahnya di Kampung Kemumin bagi membantu penduduk miskin.

Datin Seri Nor Azizah Sulaiman, 63, berkata, beliau berusaha membantu kerajaan dan masyarakat melalui program food bank berkenaan yang diagihkan kepada penerima dengan kerjasama penghulu.

- Advertisement -

“Alhamdulillah kita mendapat kerjasama yang baik daripada penghulu-penghulu mukim di Parlimen Pengkalan Chepa.

“Mereka lebih mengenali penduduk mana yang lebih terkesan ekoran penularan Covid-19,” katanya selepas menyerahkan kotak makanan kepada 20 penerima semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa berkata, inisiatif itu dimulakan sejak setahun lalu bagi membantu meringankan beban penduduk yang terputus bekalan makanan.

Menurutnya beliau memperuntukkan 10 peratus daripada wang pencennya untuk bank makanan tersebut, di samping menerima dana daripada orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pada peringkat awal saya kumpul dana sebanyak RM20,000 hasil sumbangan keluarga dan rakan-rakan bagi membantu penduduk yang terjejas.

“Saya juga menyediakan ruang untuk menempatkan barangan asas keperluan harian, yang memudahkan penerima datang mengambil barang yang diperlukan mereka,” ujarnya.

Nor Azizah juga berkata, bagi mengelakkan kesesakan ketika pandemik Covid-19, bank makanan itu hanya dibuka pada setiap Jumaat bermula jam 4 hingga 6 petang.

Manakala golongan asnaf atau mereka yang memerlukan makanan, boleh datang mengambil makanan keperluan seperti beras, gula, minyak dan susu. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -