Anak muda rebut peluang program vaksinasi remaja

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri meminta orang ramai mengambil peluang program pemberian suntikan vaksin Covid-19 yang akan dibuka untuk remaja.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pemberian suntikan itu akan dilaksanakan Kelantan minggu hadapan.

“Memandangkan ini perkara baru (vaksin untuk remaja), kita berharap ibu bapa sentiasa peka berhubung maklumat semasa.

- Advertisement -

“Pentingnya suntikan itu untuk meningkatkan tahap imunisasi kelompok dalam kalangan remaja sekaligus menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada media selepas majlis penyampaikan sumbangan ‘duit poket’ sebanyak RM500 kepada lima pelajar yang akan melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah.

Seramai 37 orang pelajar fasa pertama akan berlepas ke Mesir esok bagi mengikuti sesi pengajian tahun 2020/2021.

Mohd Amar berharap pemberian vaksin kepada golongan berkenaan akan mengurangkan kes jangkitan yang kini masih melonjak di negeri itu.

“Kita berharap semoga dengan adanya pemberian vaksin akan mengurangkan lagi kadar jangkitan harian wabak Covid-19 di Kelantan.

“Walaupun kita tidak pasti bagaimana kes berkenaan masih tinggi, namun berharap ia semakin berkurang,” ujarnya.

Ditanya mengenai ada tenaga pengajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang enggan divaksin beliau berharap ia dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, Yik telah mengambil maklumat daripada beberapa pengetua untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi guru terbabit.

Sebelum itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Husin memberitahu suntikan tersebut akan diberikan berpandu data pelajar yang dibekalkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Selain itu termasuk data melibatkan pelajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan institusi pendidikan swasta. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -