Adakah negeri PH sedia kerjasama dengan pembangkang?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbahasan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng agak tersentak apabila Ahli Parlimen Muar bangun mencadangkan negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) turut menjalin kerjasama dengan pembangkang.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bangun mencelah ketika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu membahas Titah Ucapan Diraja pada sesi persidangan Dewan Rakyat pagi tadi.

Kata Syed Saddiq, memandangkan PH menguasai Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, parti itu boleh juga menjalinkan kerjasama dengan pembangkang di negeri terbabit.

- Advertisement -

“Adakah kerajaan PH di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang akan memberi kemudahan sama kepada pembangkang di negeri terbabit,” katanya.

Isu tersebut muncul ekoran perbahasan Guan Eng yang menyentuh mengenai jalinan MoU antara kerajaan dan PH Isnin lepas.

Menjawab isu tersebut Setiausaha Agung DAP terbabit berkata, beliau setuju dengan cadangan tersebut.

Malah katanya beliau sudah menghubungi kerajaan Pulau Pinang dan bersedia untuk memberi kerjasama selaras MoU PH dengan kerajaan pusat sekarang.

Pada sesi petang pula Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mempertikaikan tindakan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melantik bapanya (Langkawi) sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Menurutnya perdana menteri melantik bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN.

Malah sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor memberitahu sedia meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sekiranya diberikan peluang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya beliau mahu setiap usaha bagi menyelesaikan masalah berkaitan Covid-19.

Pada 10 Jun lepas Dr Mahathir pernah mencadangkan penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seumpama Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang pernah ditubuhkan kerajaan pada 1969.

Beliau menyifatkan penubuhan MAGERAN berjaya menyelesaikan situasi politik negara ketika itu. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -