500 Bakul Prihatin diagih ke tiga DUN di Temerloh

- Advertisement -

TEMERLOH: Penduduk yang dikuarantin mahupun terjejas pendapatan disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus menerima sentuhan prihatin pimpinan masyarakat.

Ahli Dewan Negara, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dalam menguruskan keperluan tersebut telah menyerahkan 500 Bakul Prihatin Negara yang telah diperuntukkan melaluinya di sekitar Parlimen ini, kelmarin.

Bersama beliau mengedarkan sumbangan itu adalah pimpinan PAS Kawasan Temerloh iaitu Yang Dipertua, Md Jusoh Darus dan Timbalan Yang Dipertua, Hasanuddin Salim serta Ketua Pemuda, Muhamad Shukri Shuib dan Ketua Muslimat, Ustazah Alawiah Kasdan.

- Advertisement -

Setiap bakul bernilai RM100 itu mengandungi keperluan asas harian dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam dan lain-lain lagi yang diagihkan DUN Kuala Semantan, DUN Semambu dan DUN Lanchang kepada golongan sasaran.

Md Jusoh dalam pada itu meluahkan rasa syukur kerana penduduk Temerloh sentiasa diberi perhatian oleh semua pihak yang prihatin berikutan kekangan kewangan mereka kerana terjejas pendapatan.

“Sebanyak 500 Bakul Prihatin daripada YB Senator ini akan diagihkan segera kepada setiap DUN yang lebih mengenali mereka yang layak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -