Taman Laut Pulau Payar sumber perikanan Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sebanyak 17 tukun tiruan konvervasi yang dilabuhkan di kawasan Taman Laut Pulau Payar dijangka memberi manfaat kepada 10,981 nelayan melalui kesan limpahan ikan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Taman Laut Pulau Payar banyak memberi manfaat dalam memulihara sumber perikanan Kedah.

Katanya antara tahun 2006 hingga 2010, Jabatan Perikanan Malaysia membelanjakan RM2.99 juta bagi membina 11 tapak tukun konkrit bersaiz besar di Kedah.

- Advertisement -

Tukun-tukun tiruan itu kata beliau secara langsung turut menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di negeri itu daripada 63,703 tan metrik pada tahun 2005 kepada 83,035 tan metrik pada 2011.

“Program melabuhkan tukun tiruan di kawasan Taman Laut Pulau Payar dimulakan sejak 1975 di Pulau Telur.

“Hasil kajian Jabatan Perikanan ke atas 83 tapak tukun tiruan di seluruh negara mendapati antara 129 hingga 6,047 kilogram biomass ikan direkodkan dengan nilai sumber tertinggi yang dianggar berjumlah RM84,759,” kata beliau pada kenyataan semalam.

Bagaimanapun katanya, survei litupan karang pada tahun 2004 dan 2005 oleh sepasukan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada Coral Cay Conservation melaporkan litupan karang di taman laut terbabit diklasifikasikan sebagai moderate hingga poor iaitu dengan litupan karang antara 0-50 peratus.

Namun begitu, pemantauan liputan karang tahunan yang dijalankan Jabatan Perikanan pada 2020 mendapati kadarnya berada pada tahap ‘good’ dengan 60.8 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 50.88 peratus.

“Data saintifik menunjukkan bahawa perlindungan biodiversiti marin kepada Pulau Payar melalui konsep Taman Laut memberi perkembangan positif terhadap pemulihan ekosistem terumbu karang di Pulau Payar,” katanya.

Manakala dalam usaha memelihara biodiversiti Taman Laut Pulau Payar kata beliau Jabatan Perikanan Malaysia dan kerajaan negeri sepakat melaksanakan peraturan baru yang melibatkan beberapa perkara.

Antaranya hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Kedah dibenar menjalankan aktiviti pelancongan di perairan taman laut berkenaan dan dihadkan 100 pelancong seminggu.

Aktiviti pelancongan di Taman Laut Pulau Payar berlangsung setiap hari kecuali Selasa dan Rabu serta ditutup pada Mac dan Mei setiap tahun.

“Berdasarkan survei inventori yang dijalankan jabatan berkenaan bersama penyelidik Universiti Malaysia Terengganu mendapati Taman Laut Pulau Payar merupakan perumah kepada 154 spesies (30 famili) ikan karang dan 20 genera karang.

“Kebanyakan spesies ikan di Taman Laut Pulau Payar dari kumpulan ikan bernilai ekonomi tinggi seperti kerapu, Epinephelus sp dan Ikan Cupak atau Bigeye trevally, Caranx sexfasciatus,” kata menteri besar.

Sehubungan itu pihaknya menyokong segala usaha Jabatan Perikanan Malaysia ke arah peningkatan sumber perikanan bagi membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi komuniti nelayan serta penduduk tempatan. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -