Sorok daun ketum dalam lori tangki simen

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

PASIR MAS: Sebanyak 5.6 tan daun ketum bernilai hampir RM200,000 yang disorok dalam lori tangki menyimpan simen berjaya dirampas polis dalam sekatan jalan raya di Chekok dekat sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, pada sekatan tersebut pihaknya menahan dua lelaki berusia 35 dan 46 tahun yang juga pemandu lori serta kelindannya di sekatan jalan raya.

Kata beliau, pihaknya membuat pemeriksaan awal ke atas kedua-dua suspek, anggota polis tidak menemui sebarang kesalahan.

Namun katanya, anggota polis curiga apabila menemui banyak plastik hitam mengandungi daun dipercayai ketum di bahagian dalam tangki lori itu.

“Berikutan itu polis merampas lori serta daun ketum yang disembunyikan di dalam tangki simpanan simen serta menahan dua lelaki terbabit dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut.

“Saya yakin lokasi Pasir Mas mungkin dijadikan tempat transit sebelum bahan terlarang itu diseludup.

“Polis percaya sindiket menggunakan modus operandi secara menyembunyikan daun ketum menggunakan lori tangki simen bagi mengelak daripada dikesan,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lajut dilakukan mendapati daun ketum berkenaan dipercayai dibawa dari negeri sebelah utara untuk diseludup ke negara jiran susulan permintaan dan nilai pasaran yang tinggi.

Menurutnya juga kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Shafien juga berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu yang juga warga tempatan disahkan positif dadah jenis morfin, manakala kelindan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -