Pertahan warisan Melayu di Kg Sungai Baru

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH | Foto AMMAR ZAINAL

DI SEBALIK berdirinya bangunan pencakar langit, terselit rasa gelisah penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang tidak pasti ke mana tempat berlindung mereka esok hari.

Isu pembangunan semula Kampung Baru, bukan isu semalam. Beberapa kali Malaysia menukar Perdana Menteri, isunya masih menjadi duri bagi sebahagian penduduk tempatan.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan seramai 110 daripada pemilik rumah di Kampung Sungai Baru tidak bersetuju untuk berpindah.

- Advertisement -

Ia berikutan pampasan yang ditawarkan pemaju kepada penduduk diihat seolah berat sebelah dan lebih menguntungkan pemaju berbanding penduduk yang terpaksa mengorbankan tempat tinggal mereka.

Tinjauan Harakahdaily pada Ahad mendapati, sebahagian rumah di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah dikosongkan, bagaimanapun, masih ada penduduk yang masih mendiami flat berkenaan.

Iskandar Shah Abdullah

Seorang penyewa, Iskandar Shah Abdullah, 65, berkata, dia telah menyewa di flat berkenaan selama 12 tahun dengan harga sewa terkini iaitu sebanyak RM550 sebulan.

Kata Iskandar, dia kini sangat selesa dengan kemudahan yang diperoleh sepanjang menetap di Kampung Sungai Baru walaupun sebelum ini mereka sering berdepan banjir kilat.

Katanya, dia amat kecewa dengan keputusan kerajaan mengusir penduduk setempat untuk membangunkan semula kawasan berkenaan yang menurutnya mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

“Saya kecewa sebab dia hendak ambil. Sebenarnya ini kawasan Melayu, di tengah-tengah bandar.

“Saya tengok daripada dulu, memang mereka hendak membangunkan semula Kampung Baru untuk pembangunan.

“Mereka tidak mahu menjaga warisan Melayu di sini. Sepatutnya ini dijadikan warisan.

“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai pelancong yang datang berbasikal untuk melihat suasana di sini. Mereka suka tengok Kampung Baru yang unik.

“Sebelah sana, pembangunan yang pesat, di bahagian sini perkampungan Melayu yang serba sederhana. Sepatutnya kita pelihara,” kata Iskandar.

Menurutnya lagi, dia tidak berhasrat untuk menolak sebarang pembangunan semula, namun adalah lebih baik sekiranya kerajaan menumpukan perhatian kepada menaik taraf infrastuktur sedia ada.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk mengosongkan rumah yang didiami, kata Iskandar, dia akan menunggu keputusan persetujuan yang akan dipersetujui oleh pemilik rumah pada Oktober ini.

Kata Iskandar, dia gagal untuk mencari rumah berdekatan yang menawarkan harga serta kemudahan serupa seperti yang dinikmatinya sekarang.

Anuar Ahmad

Sementara itu, pemilik rumah di Flat PKNS Kampung Sungai Baru, Anuar Ahmad, 59, berkata, dia tidak bersetuju dengan tawaran yang dibuat oleh pemaju.

Katanya, walaupun tawaran yang diberikan kedengaran berbaloi, namun Anuar mempertikaikan mengapa pemaju tidak menawarkan sejulah wang berjumlah sama seperti harga sebuah unit kondomium yang akan terjual kelak.

“Apabila sudah siap esok, belum tentu orang Melayu mampu mendiami rumah berkenaan yang mungkin berharga RM800,000.

“Kalau sudah siap, harga jadi RM800,000, kenapa tidak tawar jumlah itu kepada kami?” soal Anuar.

Katanya lagi, rasa kasih terhadap kediamannya membesar itu masih menebal.

Walaupun rumah yang didiami mungkin kelihatan kecil kata Anuar, namun mereka bahagia hidup lapan beradik di situ.

Anuar juga berpendapat lokasi kediamannya itu berdekatan dengan pelbagai kemudahan selain mempunyai pemandangan yang indah.

Aslawati Munir

Bagaimanapun, Aslawati Munir, 63, berkata, dia hanya menyerahkan semua keputusan berhubung penyerahan rumah kepada anaknya yang kini merupakan pemilik kepada rumah berkenaan.

Aslawati mengakui, sepanjang membesarkan anak-anaknya, pelbagai kemudahan dapat dinikmati mereka memandangkan Kampung Baru mempunyai transit aliran ringan (LRT) sekolah, pasar, serta berdekatan dengan perkhidmatan kesihatan awam.

Dia turut bersimpati kepada penyewa yang terpaksa berpindah sekiranya pemilik rumah membuat keputusan bersetuju lebih awal menyerahkan kunci rumah kepada pemaju.

Sementara itu, Abdullah Hussien, 65, berpendapat bahawa tempoh yang diberikan pemaju dan pihak bertanggungjawab kurang sesuai dengan situasi semasa.

Katanya, ketika rakyat sedang bergelut dengan Covid-19, tidak wajar untuk pihak bertanggungjawab meminta mereka mengosongkan rumah.

Apatah lagi, dia yakin ramai penduduk yang berusia tidak faham sepenuhnya mengenai situasi yang dihadapi mereka.

Lebih-lebih lagi, orang tua yang tinggal berjauhan dengan anak-anak mereka dan tiada siapa di pihak mereka untuk menjelaskan satu per satu berhubung apa yang sedang dilalui.

“Apabila waktu PKP dan penilai hartanah dari pihak pemaju datang, ibu bapa tiada anak-anak untuk membantu menyebelahi nasib dan menasihati mereka.

“Bukan saya tak setuju untuk pembangunan semula, tetapi saya mohon buat dengan cara yang betul.

“Kenapa zaman orang tengah susah sebab pandemik, waktu ini juga hendak menyelit buat pembangunan? Anak-anak tidak dapat melihat surat yang dikirim pihak sepatutnya.

“Kalau terpaksa jual juga, saya akan meletakkan syarat saya memandangkan saya adalah pemilik rumah, bukan orang lain.

“Kalau mereka mahu ambil rumah, saya hendak duduk di mana? Saya hendak duduk Kampung Baru juga.

“Bagi duit RM1 juta pun, saya sudah selesa di sini, kenal orang sini, anak-anak ada kawan di sini, tiba-tiba saya perlu alih keluar.

“Bagaimana kalau pembangunan itu terbengkalai? Apa jaminan yang kami terima? Berapa lama tempoh pembinaan?” soalnya bertalu-talu.

Namun, Abdullah akur, sekiranya dia terpaksa melepaskan rumahnya, dia berharap tawaran yang diberikan setimpal untuk penduduk yang bakal kehilangan kediaman mereka.

Ini kerana, dia tahu, nilai rumah dan tanah yang dimiliki penduduk lebih tinggi berbanding yang ditawarkan ketika ini, serta dapat melihat keuntungan pemaju yang berlipat kali ganda sekiranya pembangunan kondominium berjaya disiapkan dan dijual.

Kampung Sungai Baru mempunyai penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat PKNS dan rumah teres di tanah persendirian.

Pembangunan semula yang dirancang itu dijangka melibatkan 328 unit rumah di mana 264 daripadanya adalah rumah flat dan selebihnya merupakan unit teres yang dianggarkan berkeluasan 6.8 hektar.

Mengikut perjanjian asal, penduduk rumah flat ditawarkan seunit kondominium manakala pemilik rumah teres ditawarkan tiga unit kondominium.

Baru-baru ini penduduk di kampung itu dilaporkan menerima surat pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek tersebut.

Mereka diminta hadir secara bergilir pada 23 hingga 26 Ogos lalu untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -