Perjanjian Persefahaman manifestasi kematangan politik

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyambut baik pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, yang dimeterai pihak Kerajaan bersama Pembangkang dari Pakatan Harapan hari ini. 

Pemuda PAS percaya, perjanjian tersebut adalah suatu manifestasi kematangan politik, serta kesediaan semua pihak mengenepikan persengketaan bagi melaksanakan apa yang terbaik untuk negara. Perjanjian ini juga selaras dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti politik menghentikan persengketaan dan memberi tumpuan untuk membantu rakyat, terutama dalam fasa COVID-19.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, Pemuda PAS memberi peringatan, dan menegaskan supaya setiap cadangan transformasi yang hendak dilaksanakan selaras dengan Memorandum Persefahaman ini, hendaklah mengambil kira sentimen masyarakat tempatan, serta tidak melaksanakan sesuatu yang boleh menggugat perpaduan kaum dan keselamatan negara. Pelaksanaan setiap butiran dalam pelan transformasi juga hendaklah dilaksanakan dengan berhati-hati, dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Pelaksanaan Memorandum Persefahaman ini juga hendaklah meraikan semangat demokrasi berparlimen, serta tidak mengganggu gugat peranan Ahli Parlimen Pembangkang, serta Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (Backbenchers) dalam melaksanakan peranan semak dan imbang di dalam Dewan. Memorandum Persefahaman ini tidak boleh digunakan untuk menutup dan mendiamkan perkara yang salah, sekiranya dilakukan oleh kerajaan. Peranan Parlimen sebagai tempat semak dan imbang harus dihormati dan dijunjung sepenuhnya oleh semua pihak.

Pemuda PAS juga menyeru semua pihak yang memeterai Memorandum Persefahaman ini, supaya komited dengan segala isi perjanjian yang terkandung, dan tidak menjadikannya sebagai laba politik bagi meraih undi. Keikhlasan semua pihak amat diperlukan, terutama dalam menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan negara terus stabil, serta rakyat terus dibantu tanpa mengira bangsa dan latarbelakang.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 14/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/479387615411779/posts/5065967593420402/

- Advertisement -