Pemikiran umat Islam rosak angkara penjajah

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Pemikiran umat Islam sudah lama dirosakkan oleh penjajah Barat yang sebelum ini banyak menjajah negara-negara Islam di seluruh dunia dan dalam proses itu telah menyebabkan masyarakat Islam porak-peranda. 

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, peranan pemimpin yang ada sekarang perlu berusaha dan bertindak untuk memperbetulkan kefahaman dan pemikiran masyarakat terhadap Islam yang telah dipesongkan oleh Barat sejak sekian lama itu. 

- Advertisement -

Menurutnya, penjajah yang mempunyai agenda jahat telah bertindak memisahkan ajaran suci agama Islam daripada rutin kehidupan manusia khususnya umat Islam itu sendiri. Ini kerana Barat sangat takut dengan pengaruh Islam kerana agama ini sebenarnya mencakupi segenap aspek kehidupan.

“Barat akan hancur sekiranya umat Islam benar-benar memahami agama Islam daripada segala segi. Kita perlu kembalikan semula kefahaman yang betul masyarakat terhadap kesyumulan Islam. 

“Agar Islam dilihat dan benar-benar difahami khususnya oleh umat Islam hari ini sebagai agama lengkap yang meliputi segenap kehidupan manusia,” ujarnya.

Beliau menambah, Islam tidak berkembang melalui peperangan berbanding agama-agama lain yang menakluk negara-negara lain melalui peperangan, pembunuhan dan paksaan.

“Kita ambil contoh ketika Rasulullah SAW membuka Makkah (pembebasan Kota Makkah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliah, kerana sebelum Makkah dikuasai Islam, ia berfungsi sebagai pusat penyembahan berhala dan lain-lain amalan tradisi masyarakat Arab jahiliah).  

“Baginda menjadi ketua negara kerana menerima wahyu daripada Allah SWT.  Ayat-ayat tentang cara pemerintahan negara banyak disebutkan dalam al-Quran. Segala perkara tentang pemerintahan, rasuah dan sebagainya sememangnya ada dinyatakan dalam kitab suci Islam itu. 

“Cuba lihat ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah untuk membela dan menegakkan syiar Islam.Baginda melaksanakan syiar Islam dengan kuasa yang diberikan Allah dalam menyeru umat manusia bagi melaksanakan syariat Islam,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, kita  perlu melaksanakan Islam daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. 

“Barulah masyarakat seluruh dunia melihat kehadiran Islam ini sebagai sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi dan baik. Islam juga bukan sesuatu yang ganjil. 

Sebagai contoh, kata beliau, negeri Kelantan diperintah oleh kerajaan yang  berpandukan Islam sekian lama, yang mana rakyatnya tidak pernah hidup dalam paksaan. Malah, penduduk kaum  bukan Islam dalam kalangan orang Siam dan Cina di Kelantan seronok tinggal di bawah kerajaan yang  ditadbir golongan ulama berkenaan. 

Katanya lagi, Islam benarkan tempat ibadah untuk golongan bukan Islam didirikan mengikut peraturan berdasarkan kitab feqah dan syarak kerana ia merupakan perintah daripada Allah SWT.

“Negara Jordan misalnya yang merupakan negara Islam yang mana kaum bukan Islam hanya dua hingga tiga peratus sahaja termasuk penduduk Yahudi dan Kristian tetapi  dibenarkan membina pusat ibadat mereka.

“Ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama ‘rahmatan lil alamin’ yang membawa rahmat bukan sahaja kepada umat Islam sahaja, tetapi kepada seluruh manusia dan makhluk yang berkembang dengan pelaksanaan syariat Islam,” ujarnya.- HARAKAHDAILY  14/9/2021

- Advertisement -