MoU Transformasi, Kestabilan Politik selaras demokrasi bermusyawarah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah.

Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Yusoff, persefahaman itu merupakan sesuatu yang bagus memandangkan ia akan memberi ruang kepada kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memulihkan ekononi negara dan berdepan Covid-19.

- Advertisement -

“Apabila ada persefahman ini, kerajaan tidak perlu merasa bimbang dengan kemungkinan ada ugutan daripada Ahli Parlimen yang menyokong dia, kemudian menarik balik sokongan, dan seterusnya menyebabkan kerajaan itu gugur.

“Apabila ini tidak berlaku, maka kestabilan politik akan berlaku. Ini selaras dengan apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis Raja-raja Melayu sendiri.

“Yang di-Pertuan Agong semalam khususnya bertitah mengenai politik musyawarah. Politik musyawarah inilah yang dapat kita lihat dan berlaku dalam persefahaman ini, Jadi, ia sesuatu yang bagus,” ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu Dr Kamarul turut memuji tindakan PH kerana berani mengambil risiko untuk menerima tawaran itu walaupun mereka mungkin berdepan dengan tentangan daripada sebahagian ahli dan penyokong mereka.

Katanya, sebelum ini, PH menganggap tawaran yang dikemukakan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai rasuah politik, namun kini mereka menerimanya.

Tindakan itu sekaligus membuktikan bahawa tawaran Muhyiddin sebelum ini adalah sesuatu yang bagus.

“Apabila mereka menerima, maknanya ini membuktikan bahawa apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin itu adalah sesuatu yang tidak bermasalah sebenarnya, sesuatu yang bagus.

“Cuma pada waktu itu, pembangkang masih mengharapkan agar apabila Muhyiddin jatuh, mereka akan menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, apabila ini tidak berlaku, mereka bersikap realistik sekarang. Mereka terpaksa menelan balik kata-kata mereka dan sekarang menerima persefahaman ini walaupun ditentang oleh sebahagian penyokong mereka.

“Saya perlu beri kredit kepada PH kerana berani dan sanggup untuk tanda tangan persefahaman ini walaupun dia berhadapan dengan kemungkinan penentangan daripada sebahagian ahli dan parti pembangkang,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Dr Kamarul, persefahaman itu tidak menggambarkan kerajaan perpaduan.

Katanya, ini kerana, kerajaan perpaduan terbentuk sekiranya terdapat Ahli Parlimen dari blok pembangkang turut dilantik menjadi menteri di dalam kabinet kerajaan.

“Sedangkan apa yang berlaku ini bukan begitu, ia hanya proses persefahaman untuk kerajaan melakukan beberapa perkara, sebagai pertukaran pihak pembangkang menyokong kerajaan untuk terus berkuasa sehingga Julai tahun depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -