MoU bukan bererti tidak mempunyai pembangkang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi menganggap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dan pembangkang adalah satu permulaan yang baik.

Menurutnya, MoU tersebut akan memberi peluang kepada pembangkang untuk membantu kerajaan dalam sebahagian perkara seperti yang dipersetujui.

- Advertisement -

“MoU itu akan membolehkan kerjasama dilakukan dalam beberapa perkara.

“Ia permulaan yang baik untuk melihat sejauh mana pembangkang boleh bekerjasama dengan kerajaan, dan sejauh mana kerajaan boleh bekerjasama dengan pembangkang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, apabila MoU itu termeterai, ia bukan bererti Malaysia tidak mempunyai pembangkang, tetapi ia akan memudahkan kerajaan untuk menguruskan perbezaan pendapat dari kedua belah pihak dengan lebih baik.

“Sebelum ini, mungkin kerajaan melihat pandangan daripada pembangkang sebagai satu ancaman, ataupun, segala aktivti yang dilaksanakan kerajaan, mungkin pembangkang juga melihat ia sebagai satu kepentingan kepada pihak kerajaan.

“Maka, kerjasama seperti ini berpotensi membentuk idea baharu untuk proses pembangunan dan pentadbiran kerajaan Malaysia. Idea itu akan datang dari kedua belah pihak, sekaligus membuatkan kedua pihak berpuas hati terhadap kejayaan Malaysia,” katanya.

Kesan daripada MoU itu kata Dr Syakir, akan membawa kesimpulan sebarang kejayaan, kegagalan adalah dari kedua belah pihak.

Oleh itu, sukar untuk pembangkang dan kerajaan menyalahkan sesama sendiri sekiranya sesuatu perkara gagal untuk dicapai.

“Bagi saya, selepas ini kita akan melihat kesan, sama ada sikap itu kekal dengan kerjasama atau sebaliknya akan berlaku tikam-menikam di belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -