MN Selangor pertahan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) Selangor akan kekal mempertahankan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ di bawah Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tan Sri Noh Omar berkata MN negeri akan memastikan bahawa jajaran politik perpaduan ummah akan terus menjadi agenda utama dalam menawan kembali negeri Selangor dari tangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum nanti.

Mereka menyatakan demikian dalam kenyataan media MN negeri sempena memperingati ulang tahun kedua Muafakat Nasional, hari ini.

- Advertisement -

Menurut mereka, MN negeri juga konsisten dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas di negeri itu demi membangunkan watan yang sejahtera sebagaimana dipersetujui dalam piagam berkenaan.

“Dalam waktu yang sama MN Selangor menerima realiti kepelbagaian agama, kaum dan budaya yang turut dilibatkan bersama demi mencapai kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” ujar mereka.

Tambah kenyataan itu, hari ini genaplah ulang tahun kedua penubuhan MN dan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara dua buah parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu Umno dan PAS yang telah banyak merobah landskap politik dalam negara termasuk di negeri Selangor pasca PRU14.

Menurut kenyataan itu, sepanjang dua tahun penubuhannya, MN Negeri Selangor telah terus melangkah ke hadapan memperkasakan agenda penyatuan ummah dan telah berjaya menubuhkan kerjasama politik antara kedua parti di pelbagai peringkat sehinggalah ke akar umbi.

Ini, kata mereka dengan menggerakkan program dan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang telah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan daripada para penyokong parti serta rakyat Selangor secara amnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -