Memorandum persefahaman: Sinar politik matang dan sejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan dan pembangkang yang bersepakat menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik sekaligus memberi gambaran positif kepada landskap politik negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, usaha besar inisiatif pihak kerajaan itu adalah satu langkah penting yang diambil demi mewujudkan kestabilan politik sebagai asas untuk membebaskan negara daripada wabak Covid-19 dan seterusnya memacu negara ke arah yang lebih cemerlang.

- Advertisement -

Memorandum, memorandum persefahaman itu merupakan langkah tepat yang diambil oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri ke-9 yang merangkumi enam transformasi dalam menjayakan gagasan Keluarga Malaysia iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

“Memorandum persefahaman ini juga bertepatan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah diperkenalkan oleh PAS sebagai teras politik negara yang menjadikan agenda politik matang oleh semua pihak untuk kesejahteraan negara.

“Semoga dengan termeterainya memorandum persefahaman ini pihak kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan melakar sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.Kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap yang menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Ia selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, semalam.

Semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian demi mencapai matlamat ‘Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan’.

Bagi Perdana Menteri, kerajaan yakin ia bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.– HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -