Kurung rakyat tidak lagi sesuai tangani Covid-19

- Advertisement -

Oleh HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah kerajaan untuk terus mengurung rakyat tidak lagi sesuai dalam usaha negara untuk bebas daripada pandemik Covid-19.

Malah, katanya langkah itu dikhuatiri boleh mendatangkan banyak implikasi kepada rakyat dan kerajaan kini melihat keutamaan untuk membuka sektor ekonomi secara berperingkat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya rakyat perlu berdisiplin untuk membuat kawalan kendiri kerana ada yang tidak memakai pelitup muka di tempat percutian yang dibuka selepas kelonggaran diberikan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Masa depan negara untuk bebas daripada Covid-19 bergantung pada kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain. Kawalan kendiri sangat penting, kalau tidak usaha kita selama ini akan jadi sia-sia,” katanya menjawab soalan tambahan Dato’ Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri ketika menjawab soalan asal Mohd Salim, berkata, data pemberian terkini vaksin menunjukkan seramai 74.7 peratus rakyat dewasa negara ini menerima dua dos vaksin dan 91.6 peratus menerima satu dos.

Ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu), Perdana Menteri berkata, kerajaan membuat keputusan membuka semula 11 sektor ekonomi berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Selain itu, katanya kerajaan memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di setiap premis perniagaan yang dibenarkan dibuka.

“Kita bersandarkan kepada 11 aktiviti yang dibenarkan. Kita juga berdasarkan sains dan data, menunjukkan dari segi kluster yang diwujudkan dari 11 sektor ekonomi ini. Ramai mengatakan gunting rambut bahaya…ramai kontak rapat, tapi sepanjang 2020 hanya satu melibatkan kluster gunting rambut.

“Begitu juga salun, tidak ada kes salun. Kedai cuci kereta juga, kononnya ramai pekerja Bangladesh tentu jangkitan lebih mudah, tapi sepanjang 2020, tidak ada kes membabitkan kedai cuci kereta,” katanya.

Ismail Sabri juga menerangkan pelantikan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah berdasarkan tugasnya sebelum ini dan kerajaan memberi kepercayaan untuk beliau meneruskan tugasnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2021

- Advertisement -