Kerajaan prihatin semua aspek berkaitan halal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua aspek yang berkaitan dengan halal dalam memacu negara menjadi hab industri halal bertaraf dunia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, aspek pensijilan, perundangan berkaitan halal, pembangunan industri, pembangunan sumber manusia termasuk pendidikan dan lain-lain sentiasa diberi perhatian.

Tambahnya, tidak dinafikan bahawa, dalam mendepani kemajuan perkembangan ekonomi dan industri produk serta perkhidmatan halal, terdapat juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membuat penipuan atau sebarang bentuk cara yang boleh mengelirukan pengguna, hingga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, jelasnya kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani perkara itu melalui kaedah penguatkuasaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan menyemak dan mengkaji prosedur-prosedur pensijilan halal, standard Malaysia serta peruntukan undang-undang berkaitan halal, dan sistem-sistem serta aplikasi yang tersedia di semua agensi yang berkaitan bagi memastikan ia mencapai objektif perkhidmatan,” ujarnya semasa menjadi pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai contoh, katanya pada tahun 2021, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menguatkuasakan pelaksanaan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 untuk menggantikan manual prosedur yang dikeluarkan pada tahun 2014 bagi urusan pensijilan halal Malaysia.

Menurutnya, sebagai langkah untuk memperkasa perkhidmatannya, JAKIM juga telah memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065 sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf dunia.

Selaras dengan itu, ujar beliau peruntukan-peruntukan kewangan telah dan akan disalurkan secara tahunan ke JAKIM dan agensi-agensi lain yang terlibat dengan pengurusan pensijilan halal dan penguatkuasaan halal seperti KPDNHEP dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri mengikut keperluan, termasuk peruntukan bagi penambahan pegawai berdasarkan kepentingan perkhidmatan masing-masing.

“Dalam mendepani cabaran dan kekangan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu, kerajaan menyambut baik cadangan penambahan peruntukan kepada JAKIM dan JAIN dalam memperkasakan Bahagian Pengurusan Halal di kedua-dua agensi, khususnya bagi menambah bilangan pegawai untuk memenuhi keperluan dalam menjalankan tugasan pemeriksaan dan penguatkuasaan halal,” kata beliau.

Beliau menambah, peruntukan tahunan yang diterima oleh Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM sejak tahun 2017 sehingga Ogos 2021 adalah sebanyak RM15,033,358. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -