Inspirasi kisah ahli syurga: Habib An Najjar

- Advertisement -

NILAI kehidupan dunia bukan ditentukan berdasarkan seberapa nikmat yang kita peroleh. Orang yang diberi rezeki kemewahan, kepandaian malah perjalanan hidup yang selesa bukan petanda pengakhiran akhiratnya bernasib baik.

Begitu juga orang yang dilihat susah, asyik ditimpa malang, malah dikeji juga tidak menjadi indikator nasibnya buruk di akhirat kelak. Hakikatnya, kehidupan dunia itu serba ujian. Hal ini dibuktikan dalam satu kisah yang dipaparkan menerusi al-Quran iaitu Surah Yassin. Seorang lelaki yang dilihat ‘biasa-biasa’ tetapi punya saham akhirat yang cukup luar biasa.

- Advertisement -

Habib An Najjar

Nama beliau tidak disebut dalam al-Quran. Para Mufassirin menggelarnya sebagai Habib An Najjar dek kerana rutin hariannya sebagai tukang kayu.

Beliau adalah lelaki yang hidup pada zaman tiga orang Rasul dahulu kala. Apa yang mengagumkan, di saat kebanyakan umat pada waktu itu menentang dakwah dan ajaran Rasul, An Najjar bangkit mempertahankannya. Bergegas bertindak selaku pembantu Rasul dan berani mengisytiharkan keimanannya.

Akibat tindakan tersebut, An Najjar ditangkap dan dipukul teruk oleh kaumnya. Ada ulamak yang menafsirkan perutnya sampai dipijak-pijak sehingga terkeluar usus. Lalu, beliau akhirnya telah dikurnia syahid. 

Ganjaran akhirat

Dalam al-Quran, Allah Taala memaparkan dialognya ketika mana beliau diberi nikmat syurga:

قِيۡلَ ادۡخُلِ الۡجَـنَّةَ ؕ قَالَ يٰلَيۡتَ قَوۡمِىۡ يَعۡلَمُوۡنَۙ

“Dikatakan (kepadanya), “Masuklah ke syurga.” Dia (laki-laki itu) berkata, “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.”

Lafaz ” يٰلَيۡتَ قَوۡمِىۡ يَعۡلَمُوۡنَۙ ”  diungkap menandakan An Najjar apabila memperoleh nikmat masih memikirkan perihal kaumnya.

Walaupun dizalimi oleh kaumnya, jiwa beliau tidak ada sekelumit dendam sekalipun. Ia jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa seorang pendakwah yang tidak ada kepentingan diri padanya. 

Azab

Asbab daripada kezaliman yang berlaku kepada An Najjar, Allah Taala telah menurunkan bala ke atas penduduk kaum tersebut. Satu teriakan suara muncul telah mampu memusnahkan hayat mereka. 

Allah Taala tidak perlu untuk menghantar ‘tentera’ melawan kejahilan kaum itu. Cukup hanya meledakkan pekikan kuat untuk mengazab pendengaran mereka yang kufur.

Pendengaran

Pendengaran sinonim dengan pancaindera telinga. Ia menjadi laluan utama dalam menerima ajaran iman dan pengaruh. Bahkan di dalam al-Quran, Allah Taala banyak mendahulukan pendengaran, kemudian barulah penglihatan:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.”

Kaum yang hidup pada zaman tiga orang Rasul itu langsung tidak mengendahkan perihal ajaran dan teguran buat mereka. Malah, mereka berpura-pura pekak dalam menerima kebaikan. Kesannya, mereka lantas menjadi lebih sesat dan jahat dari binatang.

Untuk memahami sesuatu, kita perlu mendengar dengan teliti. Mendengar segala kebaikan tanpa mengira siapa kedudukan yang berkata. Justeru, deria pendengaran sangat signifikan dan terkait dengan faktor hidayah. Melalui petunjuk hidayah, manusia mampu bertindak dengan hikmah. Maka tidak pelik, deria yang terawal dikurniakan Allah Taala adalah pendengaran. Deria terakhir yang ditarik oleh Allah Taala sebelum mati juga adalah pendengaran.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 14/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100002026942907/posts/4278772018866987/

- Advertisement -