Empat lelaki ditahan 24 jam selepas kes samun senjata

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Polis Kelantan berjaya menangkap empat lelaki Melayu yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata parang di sebuah rumah di Kampung Berangan Stesen, Tumpat, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, empat suspek terbabit menyamun sebuah rumah mangsa berusia 63 tahun dan merampas barangan kemas bernilai RM170,000.

Menurutnya, setelah bertindak atas maklumat dan pihaknya membuat beberapa serbuan di empat lokasi berlainan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu dan berjaya menangkap empat suspek terbabit.

- Advertisement -

Kata beliau dengan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan kes samun berkenaan dalam tempoh 24 jam.

“Pada 13 September jam lebih kurang jam 10 pagi semasa pengadu berada di rumah di Kampung Berangan Stesen, Tumpat didatangi dua lelaki Melayu yang tidak dikenali dengan menaiki motosikal.

“Dua lelaki tersebut memakai topi keledar memasuki rumah dengan membawa dua bilah parang panjang dan bertindak meletakkan parang di leher pengadu serta menekup mulut mangsa menggunakan tangannya.

“Kemudian suspek mengambil barang kemas yang dipakai. Kemudian pengadu ada menjerit meminta tolong tetapi tidak didengari jiran. Ketika kejadian, pengadu tinggal seorang diri di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Palekbang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini polis berjaya menjumpai sebahagian barangan kemas bernilai RM80,000 dan sedang berusaha mendapatkan barangan yang digadai dan dijual di premis berdekatan. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -