Titah Agong menepati senario politik negara

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertepatan dengan realiti senario politik negara ketika ini.

Baginda bertitah supaya semua pihak tidak lagi meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, berkata Titah Diraja adalah tepat, betul dan mengenai sasarannya kerana realiti kerja atau khidmat Yang Berhormat memang perlu berbakti kepada masyarakat, terutama di kawasan Parlimennya.

“Dalam suasana pandemik Covid-19 memang sangat perlu mendekati rakyat sebab banyak masalah yang menimpa sebahagian rakyat. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ada yang kehilangan pekerjaan.

“Apabila tiada kerja, tekanan hidup boleh menyebabkan pergaduhan dalam rumah tangga,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Mengulas mengenai amalan integriti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Ustazah Nuridah berkata, amalan itu perlu diserapkan dalam jiwa setiap pemimpin agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“Integriti memang suatu akhlak yang bagus dan perlu ada pada setiap pemimpin,” katanya.

Dalam Titah Diraja, Yang di-Pertuan Agong turut meminta wakil rakyat dan semua agensi kerajaan bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat serta memantau pencapaian program diumumkan kerajaan.

Baginda juga menitahkan beberapa perkara perlu diberi tumpuan termasuk program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Skim Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -