PM seru ahli Parlimen rapat saf demi negara, rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira pandangan politik untuk bersama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.

Beliau berkata ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini, yang meminta semua pihak hendaklah mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

- Advertisement -

“Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Ismail Sabri juga berharap persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Kesembilan.

Persidangan Parlimen bermula hari ini di mana persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari dan berakhir pada 12 Okt manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Okt depan. – BERNAMA

- Advertisement -