Parlimen: Henti polemik undi percaya, tumpu pulih ekonomi, tangani Covid-19

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan seluruh anggota Kabinet Kerajaan Malaysia yang telah dilantik seperti yang telah diumumkan.

Ketua-ketua penerangan parti komponen PN dalam kenyataan bersama hari ini juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta ahli-ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri serta Kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran Covid-19 sebagai kesinambungan daripada kepimpinan Perdana Menteri yang ke-8 terdahulu.

Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (BERSATU), Kamaruzaman Mohamad (PAS), Chin Vui Kai (Parti Maju Sabah – SAPP), Jeffrey Kumin (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR) dan Koo Shiaw Lee (Parti Gerakan Rakyat Malaysia – GERAKAN).

Advertisement

“Ini adalah semangat muafakat Keluarga Malaysia yang diperlukan negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua ahli Parlimen memberikan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi, penjagaan kesihatan rakyat, pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan, serta penerusan usaha-usaha menangani Covid-19 dalam sidang Parlimen yang bermula pada hari ini.

“Kami mengambil pandangan bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Baginda Tuanku telah menjalankan amanah dengan penuh bijaksana.

“Maka apabila Baginda Tuanku berpuas hati dengan sokongan majoriti yang jelas kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, undi percaya tidak lagi diperlukan,” ujar mereka.

Justeru, mereka menggesa parti-parti pembangkang menghentikan sikap bermuka-muka dalam hal itu.

Menurut mereka, negara memerlukan kestabilan dan sebarang usaha pembangkang untuk menggugat kestabilan pada waktu ini adalah tindakan yang bukan sahaja tidak kena masanya, malahan juga tidak bertanggungjawab.

“Sebagai jentera penerangan gabungan parti-parti dalam Perikatan Nasional, kami berikrar untuk terus membantu YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan,” kata mereka lagi. – HARAKAHDAILY 13/9/2021