Muafakat rentas parti satu inovasi politik – Khairil Nizam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat rentas parti dilakukan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang diteruskan dari pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu inovasi politik.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, ianya satu persefahaman yang menjadi solusi menang-menang kepada semua parti politik demi kepentingan rakyat dan negara.

- Advertisement -

“Namun malangnya ia tidak disambut oleh pemimpin PH dan juga pembangkang. Hanya segelintir sahaja yang ketika itu berjiwa besar dan rasional (sedia menerimanya),” ujar beliau mengupas tajuk ‘Muafakat Rentas Parti: Dekat Tapi Jauh?’ dalam siri Dialog Tiga Penjuru Astro Awani baru-baru ini.

Tegasnya, tawaran tersebut bukan retorik, namun seperti kata pepatah Melayu ‘Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’ di mana ia memerlukan kerjasama dan partisipasi yang ikhlas semua pihak.

Jelas beliau selaku juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) tujuan muafakat itu adalah untuk memberi fokus bagi membolehkan negara beralih kepada fasa endemik yang dijangka pada akhir Oktober nanti.

“Kalau betullah pendekatan itu tidak bersifat ‘substantive’, jadi saya harapkan juga wakil pembangkang, pertama sekali perlu terbuka untuk silent, melenyapkan nafsu politik. 

“Maknanya kena ada satu mutual respect yang kita bersama simbiotik di dalam jawatankuasa ini. Yang kedua perlu menjadi pembangkang yang konstruktif. Boleh tengok macam mana pendekatan Pemuda PAS sebelum ini, sewaktu kami menjadi pembangkang.

“Dan kita harapkan kerajaan dan pembangkang mempunyai satu pemahaman yang sama iaitu misi kita satu, visi kita satu, dan kita bergerak secara berpasukan. Saya yakin kalau ini ada, pasukan ini akan berjaya mengharungi dan menguruskan pandemik COVID-19 insya-Allah,” ujarnya.

Katanya, beliau sangat gembira apabila Dato’ Sri Ismail Sabri membuat tawaran tersebut mewakili kerajaan di mana ia turut didukungi BERSATU yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin dan PAS diketuai Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bagi beliau tawaran itu adalah satu bentuk pemikiran dan tindakan baharu terutama kepada pemimpin pemuda masa akan datang iaitu mesti belajar dari ketidakstabilan politik yang telah berlaku.

“Satu sejarah yang kita boleh rujuk bersama (adalah sokongan kepada) Undi 18, apabila pada waktu itu Kerajaan PH yang Menteri Belia dan Sukannya adalah YB Syed Saddiq. 

“Dia engage dengan kami Pemuda PAS minta kami supaya kita convince dengan tingkat atas, koridor atas untuk bersama-sama dengan Kerajaan PH pada waktu itu untuk bersetuju dengan Undi 18. 

Alhamdulillah dengan perbincangan yang rapi, seperti yang YB Tony (Pua) buat sekarang, dengan kawan-kawan kami, kita berjaya meyakinkan koridor atas dan akhirnya menjadi satu sejarah apabila usul tersebut diluluskan. Usul yang diangkat oleh kerajaan bersama diluluskan oleh pembangkang mendapat (undi) dua pertiga majoriti.

“Jadi, saya yakin sejarah itu boleh berulang, saya yakin,” ujarnya yang turut mengingatkan para pemimpin politik bahawa rakyat semakin menilai dan memilih tindakan mereka.

Oleh itu seru beliau, ahli-ahli politik di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, agar membuang stigma pemikiran masing-masing bahawa mereka adalah pembangkang atau kerajaan sedangkan keduanya boleh membina negara maju. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -