Kisah bantuan air di Kuala Nerus

- Advertisement -

“JO, mu kabor kata nok paka pikap nok ngator air. Doh mu nok start ator air bila?

“Aku try ejas pikap lah buwi ke mu, aku tanya saing-saing aku dulu, kut ada hok nok hulur pitih sket,” saya bertanyakan Ahmad Faizol Yusof atau lebih dikenali dengan panggilan Pejo, seorang sukarelawan yang sentiasa membantu masyarakat di sekitar Terengganu.

- Advertisement -

“Bereh Sir, ada orang nok beri pinjang Protong Arena sutir, tapi dok cukup lagi ni.

“Masaloh kita transport nok ator ke orang sakit, kena kuarantin, orang tua.

“Air ada banyok, berlori-lori, aku try tanya Ustaz Hishamuddin dulu lah,” Pejo membalas pertanyaan saya.

Selain dari kawasan Tepoh, Kuala Nerus, Pejo jugak sering kelihatan membantu apa-apa yang patut di seluruh Terengganu, jika ada berlaku perkara yang melibatkan sukarelawan. Entah dari mana datang semangat dia, saya pun tak tahu. Tetapi semua sukarelawan PAS begitu lah perangai mereka. Sentiasa bersedia melakukan tugasan.

Alhamdulillah saya berjaya mengajak rakan-rakan dari Qatar untuk turut sama menyumbang kepada sukarelawan ini. Saya serahkan wang kutipan itu kepada YB Hishamuddin bagi kegunaan DUN beliau mencari lori. Dan saya pula mengikut pergerakan Pejo menghantar air ke lokasi-lokasi selama beberapa hari. Sekadar mahu menyelami tugasan mereka buat saya menulis.

Tiada sebarang elaun atau gaji yang dijanji akan dibayar oleh mana-mana pihak. Jika ada rezeki, dapat lah sedikit wang saguhati. Jika tidak, insya-Allah dapat pahala. Malah duit mereka pula yang habis untuk ini. Mereka ini gila kerana sanggup meninggalkan kerja mereka, bagi membantu. Mereka percayakan ada pahala di sisi Allah, walaupun tiada wang diberikan. Gila begini lah yang membuatkan PAS lain dari yang lain.

Pejo ada membuka perniagaan pengiklanan. Dia mempunyai sebuah kedai di Batu 6. Selama krisis air, dia bekerja hanya selama kira-kira empat jam sehari. Mula pada 9:30 pagi, sehingga Zohor. Sebelumnya tiada masa khusus kerjanya, kerana banyak tempahan. Isterinya, walaupun membantu, tetapi untuk bahagian rekabentuk, tetap lah Pejo yang mesti uruskan. Adalah sedikit pendapatan, tetapi amat berkurangan berbanding hari-hari biasa. Tetapi dia tidak peduli. Rezeki itu hanya Allah yang menjaminnya.

Pejo pada setiap hari akan bergerak ke pos pengisian air di tepi jalan besar di Kampung Padang Air. Di situ akan ada satu pasukan petugas yang menguruskan panggilan meminta bantuan. Skuad penghantaran air ini khusus bagi membantu rakyat yang keuzuran, sedang kuarantin, tiada orang muda di rumah. Walaupun kerajaan dengan kerjasama Syarikat Air Terengganu (SATU) menyediakan tangki-tangki kecil berdekatan tempat tumpuan, tetapi bagi mereka yang uzur ini, perlu juga dibantu.

Nama pemohon akan disenaraikan dan siapa pemandunya. Bil atau data telefon sendiri perlu digunakan sendiri oleh Pejo bagi menghubungi semula mereka untuk lokasi tepat. Tiada elaun ‘top up’. Sudah menjadi kelaziman di dalam PAS, kita tidak diajar bermewah dan juga perlu mengorbankan sedikit wang sendiri bagi kerja-kerja sukarela. Oleh kerana itu lah kerja-kerja bantuan PAS amat seronok dilaksanakan kerana tiada apa yang perlu dikejar untuk dunia ini. Kami lebih merasainya sebagai kerja kami.

Pejo pernah menghantar air kepada keluarga yang sebenarnya mempunyai anak-anak lelaki yang sihat dan mereka ada kenderaan. Salah guna perkhidmatan sebegini sering terjadi. Kemudiannya mereka hanya duduk atas kerusi, sambil memerhatikan Pejo melakukan kerjanya, tanpa membantu. Terdapat juga yang aras air tangki mereka baru sejengkal turun, sudah pun memanggil bantuan untuk ditambah airnya.

Ada juga yang melepaskan kemarahan mereka dengan krisis ini kepada petugas. Dengan keadaan yang tertekan sebegitu, bisa sahaja mulut akan menjadi ringan, mahu menjawab. Namun syarat telah dijelaskan dan diwajibkan oleh YB Hishamuddin untuk menelan semua bebelan rakyat, tanpa jawapan. Tiada gunanya menjawab kerana hanya akan memanjangkan masalah. Senyum adalah jawapan terbaik bagi semua leteran itu. Tetapi syukur kerana majoritinya menyatakan terima kasih atas khidmat Pejo ini

Kadang kala, jika kurang orang meminta bantuan, Pejo akan membuat rondaan di beberapa kawasan perumahan dan bertanyakan kepada penduduk jika sekiranya mahukan air. Yang lucunya, ada antara mereka menolak kerana fikir Pejo sedang menjual air. Ya, memang ada beberapa orang menjual air kepada penduduk dengan bayaran tertentu. Jadi Pejo menjelaskan ia adalah percuma sambil menunjukkan pelekat di tangki air. Baharu lah mereka mahu menerimanya.

Tidak sepi dari fitnah yang melanda, begitu lah keadaannya. Fitnah mengatakan bahawa pemandu-pemandu sukarela ini menerima sehingga RM50 untuk satu penghantaran. Ada juga yang memfitnah air adalah bagi kroni sahaja. Lebih teruk ketika air minuman dalam botol dibekalkan, ada sebahagiannya kurang, jadi terpaksa menunggu esok untuk bakinya. 

Edaran dibuat juga, tetapi dengan kaedah bahagi dahulu yang ada kepada semua. Daripada lima botol seorang, dapat lah dahulu dua atau tiga botol seorang dan esoknya akan diberikan bakinya. Tidak berapa lama, tersebar lah cerita di media sosial yang pembahagian air tidak seperti yang dijanjikan. Kata lima, dapat dua. Tanpa bertanya, mereka kemudian membuat komen-komen jijik. Setelah diberitahu keadaan, mereka diam. Tetapi tiada kemaafan dipohon. Alhamdulillah pahala lagi.

Kami telah mendapat maklumat yang air akan dapat dibekalkan lebih awal dari tarikh jangkaan iaitu pada 9 September. Tetapi lebih baik diam daripada menjawab pertanyaan orang berkenaan hal itu. Jawapan kami, Exco maklumkan pada 12 September. Kalau lebih awal, syukur kepada Allah. Dan benar, alhamdulillah hari bahagia itu tiba tiga hari lebih awal.

Begitu lah hal dan kisahnya sepotong kenangan bersama skuad bantuan di Tepoh. Yang menyedihkan juga, ada bantuan daripada sebuah syarikat besar, membekalkan kepada SATU secara pinjaman mesin memproses air mentah kepada air bersih. Tetapi mesin itu ditakluki oleh segolongan manusia dengan meletakkan bendera parti mereka di atasnya. Kami hanya tersenyum apabila melalui kawasan itu. Melihat kepada betapa rakusnya jenis manusia sebegini. 

Percaya lah, para petugas-petugas tetap sewaktu krisis air ini telah bertungkus lumus memberikan khidmat terbaik atas nama Islam dan juga kerajaan. Tiada apa kepentingan atau kekayaan yang mereka perolehi. Mereka hanya suka membantu. Fitnah lah mereka, tetapi kamu akan dibangkitkan nanti sebagai pesalah di Padang Mahsyar hari yang tiada guna lagi perkara dunia dan tiada yang boleh membantu.

Terima Kasih skuad bantuan air Kuala Nerus dan juga kumpulan luar yang menyokong tugasan mereka. Jazakumullahu khairan jazak.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 13/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -