Kerajaan mampu buktikan pencapaian awal 100 hari

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mampu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Baginda bertitah, ini boleh dicapai melalui amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.

- Advertisement -

Al-Sultan Abdullah turut menasihat semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermesyuarah dalam mencari penyelesaian apa juga masalah.

“Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Begitu juga beta menyambut baik dan amat menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwipartisan antara semua pihak yang bakal membentuk landskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara. Kematangan seperti ini yang didambakan seluruh rakyat,” titah Baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini.

Baginda menasihat Ahli Parlimen dengan pepatah Melayu lama, `biduk lalu, kiambang bertaut’ dan menyatakan bahawa sesungguhnya yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua.

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah Keluarga Malaysia sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -