Ibu bapa, pelajar teruja sekolah bakal kembali dibuka

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Golongan ibu bapa dan pelajar menyokong sepenuhnya perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membuka semula sesi persekolahan (PdP) secara bersemuka bermula 3 Oktober ini.

Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, rata-rata ibu bapa dan pelajar melahirkan rasa teruja sesi persekolahan bakal dibuka semula, namun tetap berwaspada dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan di sekolah. 

- Advertisement -

Seorang eksekutif pengeluaran di sebuah syarikat swasta, Mohd Zuladzuan Sharom, 34, berkata, dia menyokong langkah kerajaan untuk kembali membuka sesi persekolahan, sambil berharap agar persiapan yang lebih rapi perlu dilakukan.

Menurutnya, lebih baik sekiranya kesemua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah diberikan vaksin sebelum sekolah dibuka bagi membentuk imuniti kelompok di sekolah.

“Walaupun SOP agak ketat di sekolah, namun golongan murid sekolah rendah terutamanya  sukar dikawal terutamanya apabila bertemu dengan kawan-kawan di sekolah. Jadi, lebih elok  sekiranya mereka divaksin terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka menjadi pembawa virus senyap kepada keluarga dan masyarakat.

Mohd Zuladzuan

“Bagus sebenarnya sekolah dibuka menjelang bulan depan ini kerana PdP secara bersemuka lebih praktikal dan berkesan berbanding pembelajaran secara dalam talian di rumah (PdPR),” katanya yang mempunyai seorang anak yang merupakan murid Tahun 3.

Sementara pelajar Tingkatan 5, Damia Sorfina Mohd Yusman, 17, melahirkan perasaan tidak sabar untuk kembali ke sekolah selepas selama ini hanya belajar di rumah secara PdPR. 

“Bagi saya, PdP secara bersemuka lebih berkesan, tambahan saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Indah (SKTBI) Ampang, Selangor,” katanya.

Damia Sorfina

Menurutnya, sudah pasti banyak yang ingin dibincangkannya secara bersemuka dengan guru jika tidak faham tentang sesuatu mata pelajaran.

“Kelas saya ada 32 orang pelajar tetapi sebagai langkah SOP, ia  akan dibahagikan kepada dua  kumpulan dengan hanya 18 pelajar untuk satu kelas,” ujarnya  lagi kepada HarakahDaily.

Murid Tahun 2, Muhammad Faris Haidar Khairul Shahril, 8, pula berkata, dia berasa sangat gembira untuk memulakan sesi persekolahan.

“Saya tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan sekolah dan cikgu-cikgu kesayangan saya di Sekolah Kebangsaan Seri Kundang, Rawang. 

Muhammad Faris Haidar

“Subjek kegemaran saya ialah subjek Sains jadi adalah amat penting untuk saya hadir ke sekolah kerana subjek berkenaan memerlukan pembelajaran secara praktikal dan ia lebih memudahkan saya belajar bersama guru. Lagipun, saya bercita-cita ingin menjadi seorang angkasawan pada masa hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dato’ Dr Radzi Jidin mengesahkan sesi persekolahan (PdP) secara bersemuka akan tetap dilaksanakan  secara berperingkat bermula awal bulan Oktober 2021.

Bagaimanapun, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN)- HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -