Ahli Parlimen, agensi kerajaan perlu turun padang

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen serta semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang bagi meninjau dan menyelami isu rakyat dari dekat.

Di samping itu, mereka perlu memantau pencapaian pelbagai program yang telah dirancang kerajaan bagi mengurus Covid-19 termasuk keutamaan kebajikan rakyat, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

- Advertisement -

Menurut Baginda, program yang mampu meringankan beban rakyat perlu terus diperkasa dan diperhebat.

“Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti Inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan.

“Pada masa sama, Program Pembangunan Luar Bandar hendaklah terus dipertingkat dan diperkasakan,” ujar Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Baginda juga menitahkan kerajaan perlu menetapkan hala tuju Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang meliputi pelbagai aspek agar dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warga negara adalah penduduk luar bandar, termasuk 198,015 penduduk Orang Asli.

“Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam RMK-12 yang meliputi infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian, dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik Covid-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -