Agong zahir penghargaan kepada atlet, barisan hadapan negara

KUALA LUMPUR: Kejayaan atlet pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini serta pengorbanan petugas barisan hadapan negara mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Rakyat hari ini.

Seri Paduka menzahirkan penghargaan itu dengan turut meminta Ahli Dewan untuk berdiri dan memberikan tepukan kepada mereka ketika menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Advertisement

“Pada kesempatan ini, beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.

“Beta juga amat menghargai taat setia dan sumbangan petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan, (yang) terus berusaha keras mencurah khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran, dalam sebuah lanskap tempoh pandemik yang panjang.

“Justeru marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya,” titah Seri Paduka.

Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih pingat perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Sukan Paralimpik Tokyo pula menyaksikan tiga pingat emas diraih melalui Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20, Cheah Liek Hou dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5, dan menerusi jaguh powerlfiting Bonnie Bunyau Gustin.

Pingat perak Paralimpik diperoleh menerusi Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

Terdahulu sebelum memulakan titah, Seri Paduka mengajak Ahli-Ahli Dewan dan seluruh rakyat Malaysia bertafakur dan yang beragama Islam membaca Al-Fatihah, bagi memperingati rakyat negara ini yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Mengikut laman sesawang COVIDNOW, sehingga 12 tengah malam tadi sebanyak 20,711 kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini. – BERNAMA