Agong beri pesanan menerusi tiga rangkap pantun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menarik perhatian ahli-ahli Parlimen apabila mengakhiri titah dengan tiga rangkap pantun.

“Izinkan Beta untuk mengakhiri titah ini menerusi tiga buah rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas Beta buat ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,
Martabatkan negara kembali bermaruah.

Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah bertitah setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Titah Seri Paduka, negara dan rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

Menurut Seri Paduka, terlalu ramai rakyat yang terkesan dengan penularan pandemik itu dan terlalu ramai juga rakyat yang telah kehilangan sumber rezeki.

“Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihatkan semua ahli Parlimen supaya jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah; aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya,” titah Seri Paduka. – HARAKAHDAILY 13/9/2021

- Advertisement -