Wakaf bukan hanya masjid, madrasah dan tanah kubur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tanggapan masyarakat khususnya orang Islam di negara ini terhadap institusi wakaf hanya berkaitan dengan rumah ibadah masjid, madrasah dan tanah perkuburan perlu diubah kerana maksudnya terlalu subjektif.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Eksekutif Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskim Malaysia (Yawatim), Dr Mazlan Ahmad menjelaskan maksud sebenar wakaf turut merangkumi kemudahan kesihatan, utiliti dan sebagainya.

Beliau berkata, institusi tersebut juga mempunyai potensi sangat besar untuk berfungsi dengan lebih menyeluruh bagi membangunkan semula ekonomi umat Islam dan negara yang musnah kerana asakan wabak terbabit.

“Hari ini kita kena tukar tanggapan mengenai wakaf seperti masjid, madrasah atau insititusi pendidikan seperti pondok dan tanah perkuburan, dahulu sistem wakaf tidak diiktiraf kini kerajaan sudah melaksanakan sistem wakaf.

“Islamic capital market sangat besar, platform itu sudah ada tetapi ramai tidak gunapakai, jadi sekarang kita harap dapat adakan kesihatan wakaf, utiliti wakaf, infa wakaf, koprat wakaf, saham korporat wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Diskusi Pembangunan Ekonomi Rakyat Pasca Covid-19 yang dianjurkan oleh Kongres Ekonomi Rakyat (KER), Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 secara atas talian, pagi tadi.

Dr Mazlan yang juga Ahli Lembaga Amanah Perbadanan Wakaf Nasional Berhad berkata, institusi tersebut tersebut berkembang dengan meneroka projek serta sektor yang berasaskan sistem wakaf di Terengganu.

Beliau yang juga ahli komuniti pelaburan kewangan bersama Yayasan Wakaf Malaysia berkata lagi, antara sektor yang melibatkan usahawan wakaf seperti pembangunan sistem drone bagi sektor pelancongan pada musim tengkujuh.

Selain itu pihaknya juga merancang untuk mewujudkan satu komuniti di Tasik Kenyir yang dikenali Wakaf Water Smart City bagi memberi pendedahan serta kefahaman rakyat mengenai sistem wakaf sebenar kepada rakyat.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk mewujudkan drone pertama yang mampu membawa manusia, dua sehingga enam orang keran sektor pelancongan merupakan penyumbang terbesar ekonomi tetapi boleh digunakan sehingga tujuh bulan sahaja.

“Ini kerana kekangan musim tengkujuh, tetapi dengan teknologi drone ini dapat digunakan dalam suasana musim hujan pergi dan balik kerana ia dilengkap dengan teknologi canggih yang akan dibina di Terengganu.

“Bagaimana hendak membantu memperkasakan ekonomi dengan mewujudkan satu komuniti di Tasik Kenyir yang melibatkan semua bentuk kegiatan ekonomi, perikanan, perladangan dan sebagainya disamping pelancongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -