PDRM sahkan helikopternya terbang di ruang udara berhampiran Singapura

Datuk Hazani Ghazali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan helikopter miliknya melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran Singapura bagi tujuan penugasan rasmi semalam, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali.

“Sepanjang penugasan itu berlangsung sehingga kini, PDRM tidak menerima pemakluman oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter telah memasuki ruang udara mereka,” katanya dalam kenyataan.

- Advertisement -

Kenyataan itu dikeluarkan susulan sebaran mesej menerusi media sosial mendakwa helikopter PDRM menceroboh ruang udara Singapura.

Terdahulu tular menerusi media sosial, sebuah portal tempatan melaporkan sebuah helikopter Agusta Westland AW139, dengan call sign 9M-PMD yang dalam perjalanan ke Pengerang terbang melintasi Pulau Tekong, lokasi latihan ketenteraan dan khidmat negara Singapura diadakan.

Sementara itu Kementerian Pertahanan Singapura berkata Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menggerakkan pesawat tempur F-16 miliknya ke kawasan berkenaan sekitar pukul 9.20 pagi semalam sebagai tindak balas terhadap kemungkinan ancaman udara.

“Setelah memastikan bahawa keselamatan kami tidak dikompromi, pesawat tempur itu diarahkan kembali,” kata jurucakap berkenaan ketika menjawab pertanyaan media.

Menurut kementerian itu secara purata pesawat tempur RSAF dikerah untuk menyiasat dan menangani 350 potensi ancaman udara setiap tahun. – BERNAMA

- Advertisement -