Kod Etika berupaya bentuk persepsi positif terhadap MP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggubalan Kod Etika Ahli-ahli Parlimen berupaya untuk membentuk persepsi positif masyarakat terhadap semua Ahli Parlimen seterusnya mengembalikan kewibawaan Parlimen sebagai institusi perundangan utama.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata dokumen Kod Etika itu akan dijadikan sebagai rujukan utama kepada Ahli Parlimen untuk melaksanakan peranan dengan lebih baik, selain membantu melaksanakan tugasan dengan lebih efektif dan berhemah.

- Advertisement -

“Kita melihat kelakuan mereka (Ahli Parlimen) beberapa bulan lepas menunjukkan mereka sudah lupa cara bertutur, menyampaikan idea dan cara untuk menegaskan sesuatu secara baik. Kita tak perlu mencarut, menggunakan bahasa kasar atau merendahkan status kita sebagai Ahli Parlimen.

“Kami di Parlimen, iaitu saya dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun akan cuba menguatkuasakan beberapa peruntukan Peraturan Mesyuarat secara tegas,” katanya ketika ditemui selepas rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Transformasi Parlimen 62 Tahun: Antara Kenal Huruf dan Celik Politik’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Rais berkata Kod Etika sedia ada tidak mempunyai punca kuasa khusus dan tidak bersifat punitif, justeru, kebanyakan peruntukan di dalam kod itu kurang efektif dalam mengawal dan membentuk etika yang baik dalam kalangan Ahli Parlimen.

Beliau berkata menerusi sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beberapa jenis etika akan disekalikan dengan Akta Parlimen 1952 sebagai salah satu langkah ke arah transformasi Parlimen dan akan diumumkan serta diperjelaskan kepada rakyat kepentingan merealisasikan usaha itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan Persekutuan menawarkan tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tawaran itu meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun. – BERNAMA

- Advertisement -