Ibu bapa, penjaga boleh pilih untuk tidak hantar anak ke sekolah

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman Covid-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

Advertisement

 “Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Hari ini Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu…matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

Radzi berkata sesi persekolahan kali ini mewajibkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa kepada pelajar berbanding hanya digalakkan sebelum ini, selain pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.

Kerajaan juga akan berusaha membekalkan pelitup muka kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, katanya.

Beliau berkata bagi sesi rehat, murid akan terus makan di dalam kelas dengan pengawasan guru seperti prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini kecuali bagi kelas yang menggunakan pendingin hawa.

“Bagi kelas yang menggunakan pendingin hawa, mereka harus makan di tempat terbuka dengan pengawasan guru,” katanya.

Sementara itu, Radzi memaklumkan murid yang tinggal di Sekolah Berasrama Penuh, tiada penggiliran mingguan di dalam kelas seperti pelajar sekolah harian dan bagi mewujudkan gelembung selamat di asrama, mereka akan diminta untuk membuat ujian kendiri Covid-19 sebanyak tiga kali bagi mengekang penularan Covid-19.

“Ujian kendiri Covid-19 akan dijalankan sebanyak tiga kali iaitu sebelum murid masuk ke asrama, pada hari keenam dan juga pada hari ke14 dan aktiviti kokurikulum juga masih tidak dibenarkan,” katanya.

Radzi berkata kelas Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) adalah dibenarkan dengan syarat murid telah siap memakai pakaian sukan dari rumah dan tidak menyalin pakaian di sekolah.

“Kita ingin mengelakkan kesesakan apabila semua murid masuk untuk menyalin baju di dalam bilik persalinan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan murid yang bergejala tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah sama seperti SOP yang dijalankan sebelum ini namun sekiranya murid didapati bergejala ketika di sekolah, ujian saringan Covid-19 menggunakan air liur akan dilaksanakan.

“Kita akan menyediakan Kit Ujian Kendiri Covid-19 di sekolah dan mereka akan ditempatkan di bilik isolasi, ini adalah salah satu usaha kita untuk mengekang penularan Covid-19 di sekolah,” katanya.

Menurutnya jika terdapat kes Covid-19 yang dilaporkan di sekolah, pihak sekolah akan membuat laporan kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA