Darah bukti komitmen AMAL kepada masyarakat

- Advertisement -

BENTONG: Sambutan 3 Dekad Jabatan Amal Malaysia (AMAL) telah diisi AMAL Kawasan Bentong dengan mengadakan kempen derma darah bertempat di Unit Patologi Dan Tabung Darah, Hospital Daerah Bentong, di sini semalam.

Ia menjadi kelangsungan inisiatif dan komitmen AMAL dalam khidmat baktinya kepada masyarakat terutama memastikan keperluan bekalan darah yang berkurangan dapat dipenuhi menerusi peranan mereka.

- Advertisement -

Seramai 50 penderma hadir mengisi tabung darah pada kempen ini terutama anak-anak muda dipimpin Ketua Pemuda PAS Bentong, Mohd Naqib Sahimi dan anggota AMAL Bentong sendiri.

Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Roslan Md Esa berkata, tabung darah masih mengalami kekurangan bekalan dan amat memerlukan bantuan daripada para penderma sekitar daerah tersebut.

“Terima kasih kepada para penderma yang hadir menyumbang. Teruskan menyumbang darah pada bila-bila masa kerana tabung darah memerlukan bantuan kita untuk membantu rakan-rakan yang memerlukan. 

“Semoga Allah memberkati kehidupan kalian yang cakna dan ambil peduli dengan kesusahan orang lain. Jika bukan kita siapa lagi, jika bukan hari ini bila lagi?” ujar Ustaz Roslan yang turut hadir menderma darah berbusana rasmi merah hati Jabatan Amal Malaysia.

Komandan AMAL Bentong, Mohammad Yasier Mohd Arib dalam pada itu berkata, program derma darah seumpama ini bukanlah siri pertama yang pernah diadakan.

“Pada 15, 16 dan 17 Januari lalu, Jabatan Amal Malaysia telah melaksanakan program, ‘Amal Mega Blood Donation 2021’, serentak seluruh negara dan Bentong telah membuka kaunter derma darah di tempat sama seperti hari ini.

“Atas sambutan memberangsangkan, insya-Allah Jabatan Amal akan sekali lagi bersinergi dengan Unit Patologi dan Tabung Darah Hospital Bentong bagi siri ketiga pada Disember nanti,” jelas Yasier merangkap pengarah program.

Turut hadir memberi sokongan program derma darah hari ini, adalah Timbalan Presiden GERAKAN, Randdy Yap. – HARAKAHDAILY 12/9/2021

- Advertisement -