Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Pandemik Covid-19 merupakan rahmat bagi umat Islam untuk membebaskan diri dari cengkaman sistem ekonomi kapitalis yang berunsur riba selain membangunkan semula sektor terbabit dengan nilai-nilai Islam.
Sehubungan itu, Pengasas Pusat Beli Belah Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim mencadangkan satu pelan tindakan wajar dilakukan bagi membina semua sistem ekonomi yang musnah gara-gara musibah berlaku sejak setahun lalu.
Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi kempen Buy Malaysia First (BMF) selaras dengan semangat kerajaan, Keluarga Malaysia selain membantu umat Islam untuk mengurangkan jurang ekonomi antara satu sama lain.
“Sekarang kita memerlukan satu kebersamaan, satu pelan tindakan untuk bina semula ekonomi yang musnah, setelah mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun lalu, semua asas ekonomi yang ada sekarang dimusnahkan.
“Ini bukan salah sesiapa ini adalah semua perancangan Allah untuk reset semula, duduk pada ‘starting line‘ semula, jadi apa yang berlaku sekarang ini beri peluang dan ruang yang sangat besar kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Ekonomi Rakyat membicarakan kesan pasca Covid-19, dianjurkan oleh Sekretariat Kongres Rakyat 2.0 pagi tadi yang diadakan secara atas talian pagi tadi.
Mohd Fadzil berkata lagi, kesan penularan wabak itu menyebabkan beribu-ribu rakyat kehilangan pekerjaan dan lebih 95 peratus syarikat terpaksa gulung tikar dan hanya lima peratus mampu bertahan asakan Covid-19.
Beliau berkata, Islam sudah menyediakan panduan jelas untuk bangkit semula serta langkah untuk menyaingi dominasi syarikat asing yang menguasai 60 peratus daripada pasaran runcit negara, bernilai RM100 bilion.
“Antara langkah untuk mengatasinya ialah membina satu ekosistem baru ekonomi Islam tanpa riba, harus digerakkan untuk mewujudkan asas yang kukuh, namun timbul masalah apabila kerajaan tidak mahu Islam, tidak boleh.
“Dan usaha ini memerlukan dana yang sangat besar RM50 bilion share market, dalam tempoh 10 tahun, dalam masa pandemik ini mungkin lebih cepat sebab semua orang duduk di starting line, ini peluang sangat besar,” katanya.
Selain itu beliau berkata lagi, usahawan perlu melibatkan diri dalam sektor strategik yang digariskan seperti makanan, pendidikan, penternakan, perumahan, pengilangan dan pasar raya bagi mengatasi situasi tersebut.
Namun ujarnya lagi, hasrat tersebut tidak akan tercapai jika rakyat masih mengharapkan pelaksanaan kempen seperti Buy Muslim First (BMF) yang dilaksanakan sebelum ini, tanpa melibatkan semua kaum lain dalam negara. – HARAKAHDAILY 12/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!