Tragedi kepala air: PAS Kedah kumpul sumbangan RM2.5 juta

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

YAN:
Sehingga ini sejumlah RM2.5 juta berjaya dikumpul oleh PAS Kedah untuk sumbangan tragedi kepala air Gunung Jerai.

Jumlah berkenaan termasuk barangan dan wang tunai yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Ahmad Yahaya berkata, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor individu paling awal menyampaikan sumbangan peribadinya sebanyak RM10,000 ketika dana berkenaan dilancarkan.

- Advertisement -

Katanya lagi, tindakan pantas Menteri Besar turun ke lokasi kejadian pada malam kejadian untuk meninjau perkembangan tragedi berkenaan memperlihatkan keprihatinan beliau menangani musibah yang melanda rakyat.

“PAS Kedah juga tidak ketinggalan bertindak segera dan membuka bilik gerakan operasi bencana di Masjid Wustho, Guar Chempedak sebagai pusat mengurus bantuan kpd mangsa kejadian,” kata beliau dalam majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa kepala air Gunung Jerai di Dusun Manggis,  Titi Hayun, hari ini.

Menurutnya lagi, sebalik musibah yang terjadi ada hikmahnya dan memperlihatkan keprihatinan semua lapisan masyarakat membantu dalam pelbagai bentuk.

Seramai tiga pengusaha chalet, empat buah sekolah, dua masjid, 10 mangsa banjir dan wakil enam mangsa yang maut kejadian 18 Ogos lalu menerima sumbangan pada majlis itu.

Justeru itu, Ahmad mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua derwaman termasuk sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa.

“Inilah dinamakan Keluarga Malaysia bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini ‘Malaysia Prihatin.

“Mereka yang menerima musibah tidak keseorangan, kesukaran dihadapi bersama,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu termasuklah Muhammad Sanusi dan Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad.

Pada sebelah petang, majlis yang sama akan diadakan di Sekolah Menengah Agama Zubaidiyyah, Merbok.

Sementara pada sebelah petang beberapa lawatan dan sumbangan melibatkan jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah dan Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (PIKAT) diadakan di dua tempat sekitar Yan.

Sehingga kini, 1,700 keluarga di dua daerah Yan dan Merbok yang terkesan telah menerima sumbangan daripada PAS sama ada peringkat negeri mahupun kawasan. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -