NGO, rakyat Pulau Pinang akan terus bantah PSR

GEORGE TOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Pulau Pinang yang prihatin akan terus membantah projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan (PSR) di Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri berhasrat membuat rayuan meneruskan projek itu.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata sebagai sebuah NGO yang membantah projek PSR itu, pihaknya berpendapat kerajaan negeri perlu melihat semula hasrat awal untuk membaiki dan memajukan sistem pengangkutan awam dan bukannya pembangunan tiga pulau tersebut yang jauh tersasar daripada niat awal yang murni.

Advertisement

“NGO dan rakyat Pulau Pinang yang menentang PSR juga tidak boleh berpuas hati walaupun kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek itu telah dibatalkan, ini kerana keputusan berkenaan adalah berdasarkan faktor ketidaktepatan atau kesilapan teknikal dan ia boleh diperbetulkan.

“Isu asas berkaitan impak sosioekonomi dan alam sekitar berkaitan projek PSR ini masih belum diperbahaskan. Pemikir berpandangan isu asas penentangan perlu diketengahkan supaya pihak kementerian dan kerajaan pusat dapat menilai semua faktor yang dibantah sebelum membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Pemikir juga berpandangan bahawa kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka sebagai pentadbir yang memegang amanah melaksanakan kerja mengikut undang-undang dan peraturan terutama dalam melaksanakan sesuatu projek yang berimpak besar kepada rakyat serta Pulau Pinang.

Muhamad Farid berkata dalam keghairahan membangunkan negeri, adalah menjadi tanggungjawab tersurat dan tersirat kerajaan negeri mendengar keluhan, rintihan dan suara serta cadangan pihak NGO yang mahukan yang terbaik untuk negeri ini.

Rabu lepas, tiga anggota Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, telah mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu. Dua lagi anggota ialah Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah.

Anggota Lembaga Rayuan itu membuat keputusan berkenaan terhadap rayuan yang difailkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas, bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion. – BERNAMA