Mengenang 50 tahun jasa Ustaz Kassim tubuhkan DUPNP

Sempena Jubli Emas penubuhan Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang (18 September)

- Advertisement -

TANGGAL 18 September minggu depan, genap 50 tahun usia Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang bertapak sebagai salah satu sayap perjuangan PAS di negeri ini. 

Usia setengah abad menyaksikan silih berganti generasi pemikir dan penggerak gerakan Islam yang sentiasa menitipkan slogan Kepimpinan Ulamak saban tahun.

- Advertisement -

Dewan Ulamak sentiasa menggembleng usaha bagi memastikan masyarakat tidak leka dan hanyut dengan arus tipu daya dunia khususnya di Negeri Pahang Darul Makmur baik dari sudut akidah, sahsiah mahupun politik. 

Antara pimpinan ulamak yang masih bersama perjuangan PAS di Negeri Pahang ialah Tuan Guru Haji Mohd Baki Othman. Ramai kalangan rakan seperjuangan beliau telah pergi menghadap Ilahi. 

Alhamdulillah beliau masih ada dan tidak pernah lokek memberi tunjuk ajar, panduan dan nasihat berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. 

Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang didaftarkan pada 18 September 1971 bersamaan 27 Rejab 1391 Hijriyah, beralamat di Padang Tengku, Kuala Lipis oleh Allahyarham Ustaz Kassim Bin Yahya. 

Nama Ustaz Kassim merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi para pendukung gerakan Islam tanah air. Nama beliau sering meniti di bibir pimpinan terutama yang sempat berjuang bersama ketika hayat beliau. Terkenal sebagai seorang yang sanggup berkorban jiwa dan harta sekalipun dalam keadaan kesempitan.

Beliau pernah berkali-kali menggadai tanah yang dimiliki demi untuk bertanding sebagai calon pilihan raya mewakili PAS, sehingga tanah yang tinggal hanyalah tanah tapak rumah beliau sahaja. PAS Negeri Pahang menjadi saksi jasa beliau menubuhkan Cawangan PAS di tempat yang terceruk. 

Diheretnya pimpinan-pimpinan PAS ke kawasan pedalaman menaiki keretapi dan sampan demi memastikan risalah perjuangan sampai kepada masyarakat pada awal penubuhan parti Islam ini suatu masa dahulu. 

Dr Burhanuddin Helmi salah seorang yang diusung beliau ke sana sini pada ketika itu. PAS Lipis menjadi medan beliau berjuang sebelum cawangan beliau di Kampung Keledek dipetakan di bawah Parlimen Cameron Highlands.

Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada beliau. Doa keampunan dan rahmat dititipkan buat beliau yang menjadi tonggak tertubuhnya Dewan ini yang kini menjadi platform bagi penyambung mata rantai perjuangan di bumi bertuah Pahang Darul Makmur ini. 

Setiap langkah kami di bumi Pahang di bawah nama Parti Islam Se-Malaysia tidak kira dakwah, politik dan kebajikan, pasti mengalir pahala kepada beliau.

50 tahun yang lalu beliau di sini berjuang menghadapi ujian kesusahan, kini kita menyambung perjuangannya menghadapi ujian kesenangan. 

Semoga kita diberikan taufik dan hidayah oleh Allah dalam mengikuti jejak langkah orang-orang yang telah diberi nikmat istiqamah. Alhamdulillah Allah izinkan saya menjadi saksi untuk beliau di sini. 

KHAIDIR KUSNIN
Setiausaha
Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -