Harimau Kumbang dahagakan tiket ke Piala AFC

Foto daripada Facebook Penang Football Club.

GEORGE TOWN: Digelar ‘pendatang baharu’ dalam saingan Liga Super 2021 tidak menghalang Penang FC untuk menunjukkan taring memburu tempat kedua dalam liga untuk layak ke Piala AFC musim depan.

Dengan berkongsi kutipan 40 mata bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), skuad Harimau Kumbang akan bertemu Terengganu FC yang kini turut memburu tiket Piala AFC dalam saingan terakhir Liga Super 2021 yang akan berlangsung serentak Ahad ini.

Advertisement

Ketua Jurulatih Penang FC Tomas Trucha berkata saingan sengit kali ini membuatkan pasukannya kini ‘lapar’ untuk memburu tiket ke Piala AFC.

“Kita mahu melihat prestasi Penang FC sebagai sebuah pasukan dan kelab untuk bertanding dalam pertandingan di peringkat Asia secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ketika ini pasukan sedang menjalani persiapan prapertandingan standard seperti perlawanan-perlawanan sebelumnya namun tidak menolak kenyataan bahawa para pemain telah kehilangan banyak sesi latihan akibat penularan wabak Covid-19 yang kini mempengaruhi tahap stamina para pemain dan telah menyebabkan banyak kecederaan.

“Stamina pasukan sentiasa boleh diperbaiki tetapi kita perlu mempertimbangkan dalam sukan bola sepak, ada lebih banyak aspek lain yang perlu ditambah baik dan diberikan perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata pada awal musim liga, Penang FC telah disasarkan untuk mengakhiri liga di tempat keenam teratas namun berada di kedudukan ketiga setakat ini merupakan sebuah bonus kepada pasukannya.

“Saya cuba membawa mentaliti kemenangan sejak mula-mula mengambil tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan. Penang FC juga membawa masuk beberapa pemain baharu ke dalam pasukan untuk mendorong pasukan bekerja lebih keras sehingga berjaya ke garisan permulaan atau ke bangku simpanan,” kata Trucha.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang bersetuju untuk melabur kepada pasukan ketika dunia sedang menghadapi Covid-19. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan sejak dari awal. – BERNAMA