Sikap pemimpin punca anak muda jauhi politik

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Sikap pemimpin tertentu yang hanya mementingkan kuasa dan kedudukan, antara faktor anak muda sekarang semakin menjauhi politik.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sikap seumpama itu menyebabkan anak-anak muda bosan sehingga ada yang tidak berminat dengan politik.

Katanya, pemimpin politik hanya memperlihatkan kecederungan untuk berebut kuasa politik dan kedudukan dalam kerajaan tanpa menghiraukan masalah rakyat.

- Advertisement -

“Saya sudah banyak kali cakap sebelum ini, dalam keadaan pandemik Covid-19 janganlah asyik berpolitik. Ini tidak, ada pemimpin asyik sibuk mendesak kerajaan supaya diadakan pilihan raya.

“Sikap seumpama itu menampakkan pemimpin politik sibuk mengejar kuasa dan tidak pedulikan rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Suri Mithali di sini semalam.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, situasi yang berlaku itu menjadi cabaran besar pemimpin bagi memperbetulkan kembali persepsi negatif anak muda terhadap politik.

Menurutnya mereka perlu diberi kesedaran bukan semua pemimpin politik bersikap sedemikian.

“Fokus pemimpin politik sekarang untuk menarik kembali kepercayaan pengundi muda. Kita ajak mereka menyokong agenda kerajaan bagi menangani wabak Covid-19.

“Sekiranya dibiarkan mereka mudah termakan dengan persepsi negatif yang cuba digambarkan terhadap kerajaan. Kita kena menyedarkan anak-anak muda terhadap tanggungjawab mereka.

“Laksanakan kerja sebaik mungkin, adakan program supaya rakyat nampak kita bersungguh-sungguh prihatin terhadap golongan terbabit,” katanya.

Oleh itu beliau mengajak pemimpin politik lebih fokus gerak kerja membantu rakyat sebagai usaha untuk menarik semula sokongan anak-anak muda khususnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -