Peralihan PPN Fasa 2 Lembah Klang: Rakyat masih perlu patuhi SOP

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang perlu disusuli dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam, peralihan fasa bagi negeri paling tinggi kes harian Covid-19 sejak beberapa bulan lalu itu membuktikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sangat memberangsangkan.

“Vaksinasi menjadi tersangat penting bagi melalui fasa ini. Saya merayu orang ramai terutama yang akan berjumpa ramai orang dalam aktiviti hariannya agar dapat divaksinkan. Ini untuk menjaga kesejahteraan kita bersama,” katanya.

Sementara itu katanya, fasa peralihan pandemik ke endemik Covid-19 masih memerlukan kerjasama semua pihak untuk kekal mematuhi SOP susulan kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya.

“Kehidupan kita pastinya tidak akan kembali seperti sebelum pandemik. Langkah berjaga-jaga perlu diambil, ikut SOP yg ditetapkan, menjaga kesihatan dan kebersihan diri serta keluarga perlu dititikberatkan.

“Kepedulian kepada jangkitan silang di tempat-tempat awam juga perlu diambil perhatian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Di samping itu, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia mempraktikkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah serta pengambilan makanan sihat.

“Amalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang diajar agama dan pakar-pakar seperti pengambilan diet yang sihat serta riadah.

“Senaman yang boleh meningkatkan fungsi jantung dan paru-paru perlu ada dalam rutin harian.

“Perlu agihkan sedikit peruntukan daripada pendapatan untuk pembelian makanan tambahan yang bagus untuk kesihatan termasuk makanan sunnah.

“Paling penting sekali, tawakal serta kebergantungan kepada Allah, semoga segala usaha yang dibuat menjadi ibadah di sisi-Nya,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -