Penjelasan salah faham RUU Kawalan Pengembangan Doktrin

KUALA LUMPUR: Timbul isu berkenaan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang disalahertikan oleh segelintir pihak.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, polemik itu timbul selepas jawapan soalan tambahan, sesi soalan lisan di Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary bertarikh 26 November 2020 lalu yang mana telah disebarkan dan dipetik di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu.

“Jawapan tersebut asalnya adalah penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama, merangkumi penggubalan undang-undang baharu dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan RUU Akta tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertama, kata beliau berpaksikan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

Beliau turut memetik Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Kedua, ujarnya kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU itu, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada sesama penganut-penganut agama lain.

Justeru, jelas beliau pengembangan agama kepada penganut agama selain daripada penganut agama Islam adalah dibolehkan di sisi undang-undang.

Menurutnya, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun RUU itu digubal dan diluluskan. Katanya lagi, RUU itu juga bukanlah suatu perkara baru.

Jelasnya, sebanyak 10 negeri di Malaysia telah pun meluluskan enakmen yang sama sejak tahun 1980-an lagi, kecuali empat buah negeri yang masih belum lagi berbuat demikian iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya), Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, sama seperti negeri-negeri.

“RUU yang dicadangkan dalam konteks ini akan diguna pakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata, bagi negeri-negeri lain yang masih belum menggubal enakmen itu, penggubalannya adalah bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Menurutnya, proses penggubalan RUU itu tetap sama sahaja seperti RUU-RUU yang lain.

“Ia akan mengikut tertib yang sewajarnya. RUU ini tetap memerlukan kepada persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan perlu diluluskan di peringkat Parlimen,” ujarnya.

Beliau percaya, JAKIM telah meneliti sebaiknya perkara itu dan memastikan proses penggubalan RUU tersebut dibuat mengikut tertib yang betul, serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap agar isu ini tidak dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu, sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/9/2021