Peluang negara kuasai industri halal global

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang yang sangat besar untuk muncul sebagai pengeskport barangan bertaraf global melalui industri halal, sekaligus menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, melalui konsep ‘halalan toyyiban’ yang bermaksud sesuatu yang halal dan bersifat baik atau elok, Malaysia  bakal dipandang oleh dunia Islam sebagai negara pengeksport barangan halal utama di peringkat global.

- Advertisement -

Menurutnya, peluang yang wujud itu seharusnya dimanfaatkan melalui pengeksportan barangan Malaysia ke luar negara. 

“Insya-Allah, ia akan dapat diuruskan oleh masyarakat Islam di Malaysia dengan baik. Walaupun kita tahu bekalan daging tempatan tidak mencukupi untuk dieksport, tetapi secara teknikalnya kita boleh import haiwan hidup dari negara luar dan kemudian memprosesnya di negara ini.

“Seterusnya, kita jadikan ia sebahagian daripada hub ‘halalan toyyiban’ yang boleh kita eksport semula ke luar negara dengan harga yang berbeza,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Katanya, makanan halal bukan hanya menjadi pilihan orang Islam, bahkan masyarakat umumnya juga lebih gemar memilih makanan halal, contohnya di Malaysia. 

Justeru, apabila kerajaan berhasrat untuk memulihkan semula industri halal negara, ia adalah satu tindakan yang tepat dan kena pada masanya. 

“(Istilah) halal yang ada di Malaysia ini diiktiraf oleh dunia. Ini adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan oleh negara ini. 

“Kalau negara lain, sukar untuk dilabelkan sebagai sebuah negara hub-halal, sebab kepercayaan dari negara luar tidak setinggi kepercayaan terhadap Malaysia,” ujarnya lagi. 

Semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan komited untuk memulihkan semula industri halal negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Selain itu, hasrat itu akan turut dijadikan agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan industri halal adalah pemangkin kepada ketahanan ekonomi pasca Covid-19, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara Muslim secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -