Ibrah surah al-Asr

MEMULAKAN hari dengan usrah mingguan bersama para pegawai di Pejabat Timbalan Menteri KPWKM. Ibrah dari Surah Al-Asr mengajar kita akan peri pentingnya pengurusan masa dalam kehidupan seharian. Masa yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada setiap manusia adalah sangat berharga. Hargai masa dengan melakukan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ (٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)

“Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)”

Antara perkara penting yang kita boleh aplikasikan dalam kehidupan seharian hasil kupasan daripada Surah Al-Asr ialah:

1. Iman dan keyakinan – Iman dapat memandu manusia melakukan perkara-perkara yang baik dan mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Pencipta. Keyakinan hasil daripada keimanan ini akan memberi nilai kepada manusia untuk sentiasa merenungi diri dan memacu tindakannya dengan sikap malu dan memelihara kemuliaan yang telah dianugerahkan Allah kepadanya.

2. Amal Soleh – Hasil daripada keimanan dan keyakinan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa akan mendorong kita melakukan amal soleh. Melaksanakan amal kebaikan sesama makhluk adalah perbuatan yang sangat terpuji. Jadilah kita manusia yang sentiasa memanfaatkan masa dengan melakukan perbuatan yang baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

3. Saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran – Sesungguhnya dunia menjadi medan uji buat manusia. Nasihat atas nama kebenaran dan kesabaran adalah sangat penting bagi mendepani ujian yang datang. Di sinilah perlunya sikap saling menasihati sesama kita agar kita mampu mengalahkan hawa nafsu dan menjadikan sabar sebagai benteng paling ampuh dalam menepis rintangan serta memaksimumkan kemampuan untuk mencapai tujuan.

Jadilah kita manusia yang sentiasa mengurus dan menggunakan masa dengan sebaiknya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Semoga masa yang kita gunakan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah S.W.T ini sentiasa diberkati dan dipermudahkan.

DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOF
Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 10/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1397951957129892/posts/3052131315045273/