Bersatu tidak kompromi pihak dukung pesalah rasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bersatu menegaskan parti itu tidak akan berkompromi dengan segala ugutan, hasutan, provokasi serta konspirasi pihak yang mendukung pesalah rasuah.

- Advertisement -

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, parti itu juga tidak sesekali menyokong campurtangan dalam institusi kehakiman dan keadilan negara.

“Kita perlu mengkaji sejarah kebangkitan empayar-empayar silam nenek moyang kita di nusantara, serta kenapa mereka jatuh.

“Terutamanya kelompok pribumi di negara ini, perlu terus mengukuhkan kesefahaman, kesatuan dan kerjasama bagi membangunkan bangsa kita yang jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa maju di dunia,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau, situasi itu membezakan Bersatu dengan parti-parti berasaskan kepimpinan Melayu-Islam yang ada di negara ini.

Menurutnya, penekanan diberi untuk menentang golongan-golongan korup yang menjahanamkan bangsa dan negara.

Beliau juga berkata, jangan wujud lagi mereka yang pentingkan diri sendiri kerana mengumpul kekayaan peribadi semata-mata sehingga menggadai masa depan bangsa sendiri.

“Jangan biarkan politik wang dijadikan budaya dalam parti ini sepertimana ia pernah menjangkiti parti-parti lain yang sudah lama wujud.

“Sokonglah pemimpin kita kerana prinsipnya, visinya dan kebolehannya dalam memajukan ummah serta negara,” katanya.

Bersatu yang ditubuh pada 2016 menyambut ulangtahun kelima parti itu hari ini. Parti terbabit diasaaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Muhammad Faiz juga berkata, falsafah perlembagaan parti terbabit secara jelas menggariskan prinsip-prinsip perjuangan iaitu menegakkan integriti dan antikorupsi.

Katanya, dukunglah pemimpin yang berani memimpin negara ketika menghadapi saat sukar seperti wabak Covid-19 serta masalah ekonomi global.

Menurutnya juga, Muhyiddin pemimpin pertama yang berjaya mendirikan kerajaan hasil gabungan parti-parti majoriti Melayu-Muslim-Bumiputera di negara ini yang dipanggil Perikatan Nasional (PN).

“Inilah antara perjuangan Bersatu iaitu menyatukan pemimpin dari pelbagai latar belakang ideologi politik untuk menghadapi objektif yang sama demi negara.

“Kita sedar majoriti rakyat khususnya Bumiputera mahukan satu parti yang bukan saja memperjuangkan keadilan sosial serta sistem semak imbang dalam pengurusan kerajaan.

“Tetapi yang tegas dalam memperkasakan elemen kebangsaan seperti sekolah kebangsaan dan penggunaan bahasa kebangsaan. Jika rakyat Malaysia dambakan perpaduan, maka inilah yang patut didukung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -